Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zakat perlu diguna bantu pendidikan OKU, kata menteri
Diterbitkan:  Jun 5, 2018 2:29 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Kutipan zakat boleh digunakan untuk membantu membiayai pendidikan bagi golongan kelainan upaya (OKU), kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Beliau berkata ia boleh dijadikan permulaan kepada perubahan paradigma tentang bagaimana wang zakat dapat digunakan untuk kebajikan.

"Apabila anda lihat mereka yang kelainan upaya, orang Islam sepatutnya tampil ke depan untuk membantu dan mereka patut gunakan zakat (sebagai kaedah).

"Sebahagian daripada (kutipan) zakat dapat disalurkan untuk mereka yang kelainan upaya bagi tujuan pendidikan, kebajikan," katanya seperti dipetik The Malay Mail.

Maszlee mengimbas kembali pengalamannya berdepan kesukaran meyakinkan pengurusan zakat untuk menaja golongan itu, ketika terlibat dengan sebuah pusat pendidikan khas tujuh tahun lalu.

Katanya, ada pihak pengurusan zakat yang masih berpegang dengan pemikiran lama berhubung pengagihan zakat yang menganggap OKU tidak termasuk dalam asnaf (golongan layak menerima zakat).

"Tetapi ramai sarjana moden berkata kita boleh menggunakan wang zakat untuk membantu mereka bagi tujuan pendidikan dan sebagainya," katanya lagi seperti dipetik.

Lapan golongan yang biasa dianggap sebagai asnaf antaranya adalah fakir (msikin tegar), miskin, amil (terlibat dalam pengurusan zakat), muallaf (golongan baru memeluk Islam), Al-Riqab (untuk memerdekakan hamba beragama Islam) dan fisabiillah (mereka yang berjuang untuk agama).

Pada 2017, Perlis mencatat sejarah sebagai negeri pertama yang memberikan zakat kepada golongan bukan Islam.

Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan golongan itu sebagai sebahagian daripada asnaf - iaitu dalam kategori mereka yang ingin diharmonikan tanggapan terhadap Islam.

Lihat Komen
ADS