Kematian Azahari, kejayaan besar Indonesia
Kematian Dr Azahari Husin yang didakwa mendalangi siri serangan bom di Indonesia menunjukkan usaha kerajaan republik itu menghapuskan ancaman pengganas sebagai berjaya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata, seandainya yang meninggal dunia itu adalah Dr. Azahari maka ini menunjukkan apa yang dilakukan pimpinan Indonesia untuk menghapuskan ancaman pengganas semakin berkesan.
"Namun kita kena tunggu analisis DNA untuk mengesahkan identiti mayat itu terlebih dahulu," katanya ketika diminta mengulas laporan media yang menyebut Dr Azahari yang amat dikehendaki itu, terbunuh apabila tempat persembunyiannya di Kota Batu, Malang, Jawa Timur diserbu polis petang semalam.
Najib sebelum itu menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat Pasir Mas.
Laporan media yang memetik siaran Stesen Televisyen Indonesia menyatakan bahawa Dr.Azahari meletupkan diri bagi mengelak daripada ditahan manakala dua lagi disyaki pengganas turut mati dalam kejadian itu.
Menjawab soalan lain, Najib berkata kejadian itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan membanteras pengganas namun kegiatan keganasan itu bukan bergantung kepada seseorang individu sahaja.
"Apa yang penting ialah semua mesti terus berwaspada dan bekerjasama untuk membanteras kegiatan keganasan, bukan sahaja Malaysia tetapi rantau ini perlu bebas dari ancaman keganasan," katanya.
Dr. Azahari, dipercayai menjadi anggota utama Jemaah Islamiah yang dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda.
Beliau dikatakan menyertai JI pada lewat 1990an. Pakar letupan itu mendapat ijazah dalam bidang kejuruteraan di Australia sebelum menyambung pengajian peringkat kedoktoran di Britain dan berpindah randah antara Malaysia, Thailand dan kemudian ke Indonesia bagi mengelak daripada ditahan polis sejak beberapa tahun lalu.