Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam, ibu tunggal didenda merokok di kafeteria mahkamah
Diterbitkan:  Jun 7, 2018 5:27 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Seorang peguam dan seorang ibu tunggal masing-masing didenda RM650 dan RM500 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana merokok dalam kawasan larangan di kafeteria Kompleks Mahkamah Jalan Duta Disember tahun lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap G Alexander, 46, dan Salinah Ibrahim, 52, selaku orang kena saman (OKS) selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua OKS menjalani hukuman penjara masing-masing sebulan dan 15 hari jika gagal membayar denda itu. Alexander dan Salinah membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua OKS didakwa telah melakukan perbuatan itu di suatu tempat di larang merokok di bawah Peraturan 11(1)(h) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau iaitu dalam kawasan kafeteria, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pukul 10.10 pagi pada 7 Disember 2017.

Kedua-dua OKS didakwa mengikut Peraturan 11(3), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Shumizan Siron daripada Pejabat Kesihatan Titiwangsa memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira peningkatan kes penyakit kanser akibat daripada perbuatan merokok yang membahayakan kesihatan.

"Saya memohon mahkamah membenarkan kes ini disiarkan di media cetak dan elektronik supaya menjadi pengajaran kepada orang awam untuk tidak melakukan kesalahan sama. Malah salah seorang OKS (Alaxender) yang merupakan pengamal undang-undang tidak sepatutnya melakukan kesalahan itu,” katanya.

Bagaimanapun Alaxender yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga dan pendapatan sederhana serta memohon maaf kepada mahkamah manakala Salinah pula merayu hukuman ringan kerana dia merupakan ibu tunggal yang menyara empat anak.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai kesihatan telah melakukan pemeriksaan dan pemerhatian di kompleks mahkamah berkenaan dan mendapati kedua-dua OKS merokok di kawasan yang tidak dibenarkan.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS