Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjenamaan semula NFC dijangka diumum bulan depan - Salahuddin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijangka mengumumkan penjenamaan semula projek Pusat Fitlot Nasional (NFC) secara rasmi bulan depan dalam usaha memulihkan kembali fungsi dan operasinya.

Menteri berkenaan Salahuddin Ayub berkata langkah penjenamaan termasuk memberi nama lain bagi menghidupkan semula projek itu yang terjejas ekoran kontroversi yang melanda NFC sebelum ini.

Katanya penjenamaan semula projek itu perlu dilakukan segera dalam usaha kerajaan mencapai sasaran meningkatkan penghasilan daging tempatan sebanyak 30 peratus sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.

“Kita akan teruskan idea asal NFC yang akan dijenamakan semula. Ada nama lain yang akan disiarkan nanti bagi mendapatkan operator baharu yang berkebolehan dan benar-benar berminat serta berkeupayaan untuk menjayakan projek ini.

“Saya telah meminta pihak Ketua Setiausaha kementerian untuk membuat proposal dalam tempoh sebulan,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama, di pejabatnya.

Beliau berkata sebelum pengumuman rasmi dibuat, cadangan penjenamaan semula projek itu akan dibentangkan kepada kabinet dan persidangan Dewan Rakyat apabila Parlimen keempat belas mula bersidang bagi mendapatkan peruntukan mencukupi untuk melaksanakan projek tersebut.

Salahuddin yang baru dua minggu menggalas tanggungjawab menerajui kementerian itu berkata langkah membangunkan semula projek berkenaan merupakan tindakan yang praktikal dan realistik pada masa ini dalam meningkatkan pengeluaran daging tempatan.

Beliau berkata keputusan pemilihan pengusaha akan dilakukan menerusi penilaian yang dibuat bersama kumpulan pakar dari dalam dan luar kementerian berkenaan yang dianggapnya boleh memberikan pandangan yang konstruktif terhadap usaha itu.

Pembangunan NFC bermula pada 2007 dikendalikan oleh NFCorp bagi membangunkan projek memantau, membimbing dan memupuk petani kontrak.

Namun, timbul kontroversi apabila Pengerusi Eksekutif NFCorp Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail iaitu suami kepada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disiasat dan didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM49.7 juta.

Mahkamah melepaskan dan membebaskan Mohamad Salleh daripada semua pertuduhan jenayah pada 25 Nov 2015.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS