Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir: Saya tidak tolak raja-raja Melayu
Diterbitkan:  Jun 8, 2018 12:11 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa beliau menolak peranan Raja-Raja Melayu di negara ini.

Sebaliknya kata beliau, apa yang dilakukan itu, termasuk sebelum ini seperti menubuhkan Mahkamah Khas adalah mahu mengelakkan rasa marah rakyat terhadap Raja-Raja Melayu sehingga menyaksikan mereka memberontak.

“Kita kena jaga, raja janganlah terlibat dengan benda-benda yang rakyat tidak suka. Rakyat tiada kuasa, tetapi bila dia dah marah, dia akan memberontak. Jangan jadi macam ini.

“Jadi kita kena elak raja dengan kebesarannya itu supaya tidak tercemar. Saya bukan menolak Raja-Raja tetapi saya berpendapat bahawa kalau raja buat sesuatu yang salah, patutlah kita ambil tindakan iaitu menyelamatkan raja.

“Macam kita ada undang-undang yang kita gubal sehingga tertubuhnya mahkamah khusus untuk Raja-Raja,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif bersama akhbar Sinar Harian.

Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat, bertindak melucutkan kekebalan Raja-Raja Melyu dengan meminda Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1993. Melalui pindaan itu, Mahkamah Khas turut ditubuhkan dan dikuatkuasakan.

Pergeseran dengan pihak istana sekali lagi tercetus selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu. Dr Mahathir mendakwa terdapat kelewatan berhubung upacara mengangkat sumpahnya sebagai perdana menteri ketujuh yang hanya dilakukan pada sebelah malam, keesokan harinya.

Mengulas soalan apakah yang perlu dilakukan untuk menjamin hubungan baik antara raja, pentadbir negara dan rakyat, Dr Mahathir berkata, raja-raja perlu mematuhi undang-undang dan perlembagaan.

“Perkara macam itu tidak harus berlaku. Kita ada undang-undang. Kita ada perlembagaan. Kita kena akur kepada undang-undang. Kita nak kembali kepada 'the rule of law'.

“Apabila sesuatu yang berlaku tidak mengikut undang-undang, maka akan menimbulkan kemarahan. Tetapi saya fikir Raja-Raja sedar kerana ramai Raja-Raja yang berusaha supaya mereka semua dan Agong patuh kepada undang-undang.

“Sebenarnya majoriti raja-raja tidak bersetuju kalau dilewat-lewatkan pelantikan itu. Ada yang datang jumpa saya, ada yang cuba meredakan keadaan, termasuk kelewatan saya angkat sumpah dan juga soal pelantikan peguam negara. Dan ini sudah diselesaikan atas nasihat Raja-Raja sendiri,” katanya yang dipetik akhbar itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS