Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: HARAPAN bersandiwara di sebalik Malaysia Baru
Diterbitkan:  Jun 8, 2018 12:47 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Berselindung di sebalik slogan Malaysia Baru, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebenarnya sedang melaksanakan idea yang diilhamkan oleh DAP suatu ketika dulu, kata seorang pemimpin kanan PAS.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marsuki lebih membimbangkan ialah, dasar Malaysian Malaysia itu dilakukan secara drastik.

Katanya tindakan sedemikian boleh mengundang "tindak balas tegas" daripada masyarakat bumiputera yang menjadi golongan majoriti di negara ini.

"PPP meyakini, DAP adalah pihak yang bersungguh-sungguh mahu segera merealisasikannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Shah Alam itu menambah melalui agenda Malaysia Baru yang direka HARAPAN, kerajaan sekarang mahu membuat pembaharuan menyeluruh.

"Tema yang ditonjolkan ialah Malaysia Baru, iaitu satu perubahan rupa bentuk negara yang dahulunya berasaskan kontrak sosial kepada asas yang baru.

"(Melalui) asas baru tersebut, tiada lagi keistimewaan kepada kaum tertentu dan juga kedaulatan agama tertentu," katanya.

Pernah ditolak 60 tahun lalu

Sejak memenangi pilihan raya umum (PRU) terbaru pada 9 Mei lalu kerajaan HARAPAN giat melakukan pelbagai pembaharuan dasar serta menyiasat pelbagai penyelewengan kerajaan terdahulu.

HARAPAN dianggotai empat parti iaitu PKR, AMANAH, DAP dan BERSATU dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun seperti Umno suatu ketika dulu HARAPAN didakwa menjadi kuda tunggangan DAP di sebalik jumlah kerusi parlimen parti itu yang lebih kecil berbanding parti lain.

Untuk rekod Mohd Zuhdi ialah arkitel kepada pelan PAS untuk menjadi kingmaker dalam PRU ke-14 lalu. Bagaimanapun dia sendiri kalah di kerusi Shah Alam kepada penyandang dari AMANAH, Khalid Samad.

Mohd Zuhdi menambah, pelaksanaan konsep Malaysian Malaysia itu dapat dilihat pada beberapa tindakan kerajaan sekarang.

Memetik laporan akhbar milik Umno, Mohd Zuhdi berkata beliau menyokong pendapat seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Katanya Utusan Malaysia menyiarkan pandangan Teo - berdasarkan kepada pemerhatiannya - HARAPAN memang sedang menonjolkan agenda Malaysian Malaysia.


Baca Pemimpin PAS: Minda pak cik berkarat, bacaan dia Malaysiakini


"Secara tidak disedari, agenda ini semakin mula dilaksanakan setelah ditolak sejak 60 tahun lalu," katanya.

Menurut Mohd Zuhdi perubahan yang didakwanya dilakukan kerajaan itu boleh meruntuhkan empat aspek penting dalam perlembagaan.

"PPP memperingatkan semua pihak supaya tidak meletakkan harga yang murah terhadap keempat-empat tonggak tersebut, iaitu Islam ialah agama persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak," katanya.

Lihat Komen
ADS