story images
story images
mk-logo
Berita
'Hati-hati di jalan raya, kena saman tak ada diskaun'
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 5:29 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata saman trafik menjadi suatu peringatan kepada pemandu supaya sentiasa berhati-hati mengelakkan kesalahan jalan raya.

"Yalah kalau kita kena saman, kita kena bayarlah.

"Sebab kita kena bayar sebagai satu tekanan ke atas kita supaya selalu ingat bila kita buat sesuatu yang salah dalam memandu kereta.

"Tapi kalau saman boleh diskaun, saya ingat dia tak jadi amaran kepada kita," kata beliau menjawab soalan jika kerajaan akan memberi diskaun saman trafik bersempena musim perayaan.

Dr Mahathir juga menasihatkan pemandu untuk berehat dan tidur jika mengantuk semasa memandu.

"Kalau mengantuk semasa memandu, pergi di tepi jalan, berhenti, tidur," katanya dalam sebuah video berjudul, 'Mesej daripada Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pengangkutan Sempena Aidilfitri bagi tahun 2018," terbitan Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Telekom Malaysia.

Manakala dalam video berdurasi sekitar 3 minit itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan masih mengkaji keperluan peraturan baru jalan raya.

"Itu kita masih mengkaji, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi.

"Kita harap dapat kurangkan kadar kemalangan dan memastikan jalan raya selamat untuk pengguna," katanya.

Sebanyak 5,083 kematian direkodkan daripada 400,788 kes kemalangan jalan raya di negara ini dalam tempoh Januari hingga September 2017, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman SAC Sharul Othman Mansor pada November tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,077 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan melibatkan pelajar sekolah berusia di antara 6 hingga 20 tahun diikuti jumlah golongan tersebut yang cedera parah seramai 1,150 orang dan 1,675 orang cedera ringan.

“Selain itu, dalam tempoh sama kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal berumur 16 hingga 25 tahun adalah tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 1,043 kes daripaa 3,232 kes.

“Penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi menjadi kumpulan pengguna jalan raya yang paling terdedah dan paling berisiko tinggi terlibat dalam kes kemalangan jalan raya di negara ini,” kata Sharul.

Lihat Komen
ADS