Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH gesa Putrajaya haram biaya politik asing, rahsia
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 6:35 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Kumpulan reformasi pilihan raya BERSIH menggesa Putrajaya melarang pembiayaan politik secara rahsia dan (dari negara) asing dalam merangka undang-undang mengatur aspek kewangan politik.

"Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik perlu melarang pembiayaan politik secara rahsia dan (dari negara) asing, pemilikan parti politik dalam perniagaan dan derma daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada parti politik.

"Ia juga perlu menghadkan sumbangan (jumlah) untuk mencegah parti politik terlampau bergantung dengan kumpulan kaya dan korporat yang berkepentingan menyumbang dengan menjangkakan mendapat pengaruh politik bagi memperoleh balasan daripada dasar dan projek pembangunan kerajaan," kata BERSIH dalam satu kenyataan hari ini.

BERSIH menggesa kerajaan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam merangka rang undang-undang itu.

Semalam, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata Akta Pembiayaan Politik akan digubal dengan serta-merta.

Pada mulanya,BN di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyatakan komitmennya untuk menggubal Akta Pembiayaan Politik tetapi kemudiannya menunda pembentangannya.

Pembiayaan politik menjadi isu panas selepas Najib mendakwa menerima derma sebanyakAS$ 681 juta daripada keluarga diraja Saudi.

Urus niaga berkenaan kini menjadi subjek penyiasatan. Pengkritik Najib pula mendakwa dana itu telah diselewengkan daripada 1MDB.

Lihat Komen
ADS