Kementerian Pendidikan menutup Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) buat sementara waktu susulan isu kebocoran maklumat dalam sistem itu.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik dalam kenyataan hari ini memoohon maaf atas langkah itu dan menjelaskan pihaknya sedang menyiasat dakwaan kebocoran maklumat berkenaan yang diterima semalam.
"Sebagai langkah berjaga-jaga saya sudah mengarahkan kementerian menutup sistem itu buat sementara waktu.
"Pada masa yang sama, kami sedang menjalankan analisis siasatan secara mendalam bagi mengenal pasti kelemahan dalam sistem kami dan akan mengambil tindakan segera sebaik mempunyai penyelesaian," katanya.
Untuk jangka panjang, kata Maszlee, kementerian pendidikan akan mengemas kini pengurusan projek dan proses pengurusan risiko ke atas semua projek yang dijalankan bagi mengelakkan perkara seumpamanya berulang.
"Yang lain termasuk laman web dan permohonan atas talian akan berjalan seperti biasa.
"Saya sangat menghargai maklum balas semua atas isu ini," tambahnya.
Portal Malay Mail awal hari ini melaporkan laman web SAPS diturunkan selepas mendapati terdapat pemanipulasian keselamatan pada sistem maklumat yang berpotensi mendedahkan butiran peribadi lebih 10 juta warganegara.
Portal berkenaan juga berkata Pasukan Respons Kecemasan Komputer Kerajaan (GCERT) sudah dimaklumkan selepas rundingan dengan pakar Keith Rozario yang pernah menangani pencerobohan data, selain dengan Khairil Yusof, pengasas bersama kumpulan perunding teknologi Sinar Project.
Laporan itu juga memetik sumber yang mendakwa dia mampu memuat turun maklumat 4,940,203 pelajar daripada pelayan (server), yang berpotensi mendedahkan lebih 10.3 juta rakyat Malaysia secara keseluruhan memandangkan maklumat pelajar turut mengandungi maklumat ibu-bapa.
[Baca berita penuh]
