Paling Popular
Terkini
story images
story images

Lagu popular ‘Hand in Hand’ yang menekankan kepentingan semangat saling bersepakat dan bekerjasama, merupakan lagu rasmi temasya Sukan Olimpik di Korea Selatan pada 1988.

Siapa sangka, sedekad kemudian iaitu pada 1998, ciri-ciri mulia yang ditekankan dalam lirik lagu itu menjadi pencetus semangat dan dizahirkan oleh rakyat Korea Selatan untuk bangkit membantu negara mereka yang mengalami krisis kewangan yang buruk.

Demi negara yang berada di ambang bankrap serta akur dengan saranan oleh pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), rakyat Korea Selatan bangkit memulakan kempen menderma barangan berharga kepada kerajaan sehingga berjaya mengumpulkan kira-kira US$20 bilion untuk memastikan Korea Selatan mampu bangkit semula.

Malah, semangat patriotik dan dedikasi rakyatnya turut meletakkan Korea Selatan sinonim sebagai negara yang memiliki kejayaan dan teknologi hebat pada hari ini. Dan kini pada 2018, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sentimen itu turut menular di Malaysia.

Ini sekali gus membangkitkan semangat patriotik serupa oleh generasi terdahulu yang berjuang mendapatkan kemerdekaan negara ini daripada Inggeris menerusi pemberian barang kemas, wang dan barangan berharga lainnya atas nama derma.

Bagaimanapun, perkembangan pada hari ini boleh disifatkan sebagai reaksi langsung dan keprihatinan rakyat Malaysia yang tampil membantu susulan pendedahan hutang negara sebanyak RM1.0389 trilion yang mengejutkan ramai serta di peringkat pasaran.

Bagi mereka, perkataan hutang dan negara bankrap itu amat menakutkan sehinggakan terdapat kumpulan yang melancarkan kempen ‘Go Get Funding’ dikenali ‘Please Help Malaysia!’ bagi membantu kerajaan meringankan beban hutang.

Keprihatinan sedemikian akhirnya diterjemahkan dalam bentuk dana sumbangan rakyat dikenali Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) yang ditubuhkan pada 30 Mei, 2018.

Apa yang membanggakan, tabung kendalian Kementerian Kewangan itu telah berjaya mengumpulkan sumbangan lebih RM54.89 juta setakat 9 Jun, 2018 – suatu pencapaian bermakna dalam tempoh singkat yang belum pun sebulan usianya.

Penderma Tabung Harapan itu merangkumi individu, syarikat, persatuan serta kalangan murid sekolah dan demi memastikan ianya telus, jumlah sumbangan itu turut diumumkan setiap hari.

Pujian ramai semangat patriotik

Tidak hairanlah, tabung itu mengundang pujian ramai termasuk media Indonesia yang menyifatkannya sebagai bukti atau manifestasi patriotik rakyat Malaysia.

Sebagaimana pengalaman rakyat Korea Selatan, semangat patriotik dan cintakan negara itu juga mampu membuahkan hasil yang amat bermakna.

Sewaktu krisis kewangan Asia 1997/1998, banyak perniagaan di Korea Selatan yang terpaksa ditutup selain masalah seperti pinjaman tidak berbayar yang melonjak sehingga melumpukan institusi perbankannya, nilai mata wang won merudum manakala pelabur asing bertindak mengeluarkan kira-kira US$18 bilion dari negara itu.

Akibatnya, ratusan ribu penduduk kehilangan pekerjaan, mudah tunai terjejas teruk dan satu-satunya ‘aset’ ketika itu adalah rakyatnya.

Ketika itu, kerajaan pimpinan Presiden Kim Dae-jung hanya mempunyai satu pilihan sahaja iaitu mendapatkan bantuan pakej menyelamat IMF sebanyak US$58 bilion yang diluluskan pada Disember 1997 – angka terbesar dalam sejarah namun terikat dengan syarat.

Derma barangan kemas

Kerajaan Korea Selatan tidak membuang masa apabila pantas mengumpulkan dana melunaskan pinjaman itu, termasuk melancarkan kempen kebangsaan pada 5 Jan, 1998 yang menyaksikan rakyat Korea Selatan menderma emas.

Terbukti, pada akhirnya, republik itu berjaya bangkit daripada kegagalan dan terus melakar kejayaan. Namun, apakah keadaan kewangan semasa Malaysia itu memadai untuk disamakan dengan pengalaman Korea Selatan?

Inisiatif Tabung Harapan yang disambut baik kalangan rakyat Malaysia, juga tidak terkecuali berdepan kecaman segelintir ahli ekonomi yang mempersoalkan apakah kewangan negara ini benar-benar gawat?

Alasan mereka, Malaysia telah terbukti berjaya menangani krisis kewangan Asia walaupun mengalami kemelesetan dengan pertumbuhan ekonomi yang negatif, penyusutan nilai ringgit kepada 4.7 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), petunjuk utama pasaran saham susut ke bawah 270 mata selain memperkenalkan pelbagai pendekatan atau kawalan modal bagi mengatasi krisis itu.

Bagi mereka, walaupun ribuan kehilangan pekerjaan dan ekonomi di paras terburuk, namun tiada sebarang kutipan dana yang dilaksanakan pada masa itu. Justeru, wajarkah usaha sedemikian diadakan sekarang?

Bekas pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Zainab Wahidin berkata jawapan persoalan itu bergantung kepada perspektif rakyat serta takrifan hutang negara itu.

“Ada yang beranggapan apa perlunya mereka membuat sumbangan bagi menyelesaikan masalah hutang itu. Bukannya Malaysia akan muflis.

“Singapura dan Jepun misalnya memiliki kadar hutang lebih tinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing namun kedua-dua negara itu berkembang pesat dan apa yang berlaku cuma satu permainan politik.

“Di satu pihak lain pula beranggapan adalah penting untuk membantu kerajaan baharu yang terpaksa bergelut menyelamatkan Malaysia daripada hutang negara ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Bagi saya, terpulanglah kepada apa yang rakyat mahu percaya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Saluran khusus hasrat rakyat

Zainab turut menekankan kepentingan kerajaan baharu itu memiliki pelan ekonomi yang kukuh bagi masa depan negara, membina dan mewujudkan sistem pengangkutan yang mantap serta meningkatkan sistem pendidikan.

“Ini merupakan antara perkara penting bagi masa depan lebih baik untuk rakyat selain menjadikan negara ini maju dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata sumbangan itu digerakkan oleh rakyat yang mahu membantu mengurangkan beban hutang kerajaan.

“Saya sendiri secara peribadi melihatnya sebagai tindakan patriotik sehinggakan ia terbukti mendapat sambutan hangat.

“Kerajaan hanya memenuhi hasrat rakyat dengan mewujudkan satu saluran khusus untuk menerima sumbangan itu,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS