Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata orang yang akan menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) telah dikenal pasti.

Bercakap pada dialog dengan wartawan di Japan National Press Club di Tokyo, Isnin, perdana menteri berkata pelantikan itu akan dibuat tidak lama lagi.

"Walaupun, kami telah mengenal pasti orang (berkenaan) kami tidak boleh menamakan orang itu sehingga kami mendapat perkenan Baginda (Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V).

"Sehingga itu, kami tidak dapat mengumumkan nama," kata Dr Mahathir menjawab pertanyaan mengenai perkara itu.

Dilaporkan bahawa kerajaan telah menerima perletakan jawatan Muhammad sebagai Gabenor BNM berkuat kuasa 6 Jun.
Muhammad memegang jawatan gabenor BNM pada 1 Mei, 2016, menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau adalah gabenor kelapan BNM.

Dilaporkan bahawa BNM terlibat dalam kontroversi berhubung pembelian tanah bernilai RM2 bilion yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kegagalan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dr Mahathir juga ditanya mengenai kemungkinan krisis ekonomi melanda Malaysia disebabkan tahap hutang yang besar.

Malaysia, katanya, bernasib baik kerana mempunyai simpanan besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai contoh, dan banyak lagi institusi lain yang telah menyimpan wang yang agak banyak.

Pengalaman keluar krisis 1997

"Jadi, itu boleh menjadi sokongan dalam usaha kami untuk memulihkan ekonomi, " kata perdana menteri.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai pengalaman tertentu dalam menangani masalah kewangan, seperti yang berlaku pada tahun 1997, yang mana ia berjaya keluar daripada krisis itu.

"Kami berasa bahawa kami tahu sesuatu tentang perkara kewangan negara yang akan membolehkan kami untuk pulih dan memperoleh semula kekuatan kewangan kami seperti sebelum ini.

Saya tidak fikir di bawah pentadbiran kerajaan ini, negara akan terjerumus dalam kebankrapan," katanya.

Dr Mahathir berada di sini untuk lawatan kerja tiga hari bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24, awal hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS