Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian pertanian nafi guna logo parti politik
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 5:54 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Kementerian pertanian dan industri asas tani berkata bukan amalan kementerian itu untuk menggunakan logo mana-mana parti politik dalam programnya dan menafikan terlibat dalam "Program Jualan Harapan Rakyat" yang memaparkan logo Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebaliknya kementerian berkata program itu anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

"Adalah juga tidak menjadi amalan Kementerian ini untuk menggunakan logo mana-mana parti politik dalam program-program yang dianjurkan oleh Kementerian.

"Program Jualan Harapan Rakyat dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Kajang dan Sepang untuk membantu rakyat memperolehi barangan basah yang segar dan murah," maklum kenyataan kementerian hari ini.

"Namun, Kementerian ini berpandangan bahawa pihak penganjur kurang peka dengan sensitiviti tindakan mencampur aduk penggunaan logo rasmi Kementerian dalam mana-mana program anjuran persendirian.

Turunkan papan tanda

"Penggunaan logo Kementerian tanpa kebenaran akan mengelirukan dan memberi mesej yang tidak benar kepada rakyat.

"Dalam hal ini, Kementerian memohon kerjasama penganjur untuk menurunkan bunting dan papan tanda yang mempunyai logo Kementerian dan FAMA dengan kadar segera," kata kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan berasingan juga tidak memberi izin penggunaan logonya dalam "Program Jualan Harapan Rakyat".

"Pihak Kementerian dan FAMA juga tidak memberi izin atas penggunaan logo untuk program tersebut.

"Pihak Kementerian dan FAMA mengalu-alukan sebarang program jualan murah yang dilaksanakan oleh pihak luar, walau bagaimanapun penggunaan logo Kementerian dan FAMA tidak boleh digunakan tanpa kebenaran," kata FAMA.

Semalam Ketua ARMADA BERSATU, Syed Sadiq Abdul Rahman menulis hantaran Twitter mengulas "Program Jualan Harapan Rakyat" yang memaparkan logo HARAPAN.

"Jangan ulangi kesilapan yang lepas. Jangan memperalatkan agensi kerajaan untuk kepentingan parti.

"Kenapa ada logo HARAPAN?" Soal beliau dalam hantaran Twitter.

Program ini berlangsung di pasar Bandar Baru Ampang yang menjual barangan keperluan pada harga yang rendah.

Lihat Komen
ADS