Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Bekas pekerja Bank Negara Malaysia (BNM) Kohila Yanasekaran menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia berhubung pemecatannya pada 2016.

Aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang berusia 43 tahun itu menghantar memorandum di Pejabat Perdana Menteri pada pagi tadi sebelum ke Kementerian Sumber Manusia bagi bertemu menterinya M Kulasegaran.

Pertemuan bersama Kulasegaran turut diiringi Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan serta beberapa pemimpin parti itu termasuk anggota jawatankuasanya S Arutchelvan.

Ketika dihubungi, Kohila berkata dalam pertemuan kira-kira setengah jam bersama Kulasegaran, anggota parlimen Ipoh Barat itu memberitahunya akan meneliti perkara berkenaan.

"YB Kula (Kulasegaran) kata dia akan meneliti perkara ini dan lihat apa yang boleh dilakukan," kata Kohila kepada Malaysiakini.

Dalam kandungan memorandum yang dilihat Malaysiakini, Kohila menggesa BNM membatalkan pemecatannya serta mengambilnya bekerja semula dengan menawarkan jawatan sama.

Kohila sebelum ini merupakan pengurus di Jabatan Muzium dan Galeri Seni BNM.

Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut menuntut BNM membayar ganti rugi kerana mendakwa pemecatan yang dibuat tidak sah.

"(Membayar) ganti rugi untuk pemecatan yang tidak sah, termasuk gaji bagi tempoh masa tidak bekerja, penderitaan emosi, mental dan reputasi.

"Membayar bonus untuk tahun 2016 yang (sebelum ini) telah disekat.

"Mengembalikan semua kemudahan sebagai pekerja Bank Negara," katanya yang dipetik daripada memorandum berkenaan.

Memorandum itu turut menggesa agar semua klausa yang tidak berpelembagaan dalam Kod Etika BNM 2012 termasuk Perenggan 18 (3)(d) dibatalkan kerana ia bertentangan dengan Perkara 10 (1)(a), 10 (1)(b) dan 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Kohila dipecat selepas 12 tahun bertugas bersama BNM kerana menghadiri Himpunan Hari Pekerja pada 1 Mei 2016 dan memakai baju 'Batal GST'.

Beliau berpendapat tindakan BNM memecatnya itu sebagai mencabul hak asasi dan kebebasannya kerana aktiviti yang dihadirinya itu dibuat bukan pada waktu bekerja. 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS