Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: UK janji pulangkan aset 1MDB yang disita
Diterbitkan:  Jun 12, 2018 11:52 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

United Kingdom komited untuk membantu kerajaan Malaysia dalam siasatan ke atas 1MDB, kata Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya negara itu juga bersetuju untuk memindahkan sebarang aset yang disita mereka jika ia memang mempunya kaitan dengan firma pelaburan milik Kementerian Kewangan tersebut.

Hasil pertemuan dengan Setiausaha Luar dan Hal Ehwal Komanwel UK Boris Johnson di London baru-baru ini Anwar menegaskan hakikat mengenai sejarah yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak lama dulu.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya, Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia dan UK akan mengukuhkan persahabatan kedua-dua negara demi kepentingan bersama di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Setiausaha Luar UK memberikan jaminan bahawa kerajaan UK akan menyokong siasatan berkaitan skandal rasuah 1MDB, termasuk memindahkan aset-aset berkaitan yang dirampas di UK," kata kenyataan berkenaan.

Anwar terbang ke UK baru-baru ini sebagai langkah membincangkan isu berkaitan pilihan raya umum ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu.

Sejak menubuhkan kerajaan baru HARAPAN segera menubuhkan pasukan khas bagi menyelia siasatan berhubung syarikat yang terkait secara langsung dengan perdana menteri keenam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Kaji semula projek pelaburan

Keputusan itu menyaksikan polis menyerbu beberapa premis yang ada kaitan dengan Najib, termasuk kediaman beliau di Kuala Lumpur serta tiga unit kondominium mewah di Bukit Bintang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut memanggil - secara berasingan - Najib dan isterinya Rosmah Mansor untuk memberi keterangan.

Menurut kenyataan sama Anwar turut membincangkan beberapa isu lain dengan menteri UK termasuk peluang meningkatkan "kerjasama perniagaan, pendudukan, sains dan perubatan".

Sementara itu dalam temu bual dengan akhbar The Guardian, Anwar berkata kerajaan HARAPAN akan mengkaji semula projek-projek kerajaan terhadulu, termasuk pembangunan semula Battersea Power Station di London.

"Anwar membayangkan kerajaan baru Malaysia juga akan melihat semula pelaburan hartanah utama menggunakan dana kerajaan semasa pentadbiran terdahulu, terutamanya pembangunan Battersea Power Station.

"Beliau memberitahu akhbar sejumlah perjanjian dibiayai dana Malaysia dan dana pencen perlu dikaji semula serta dirundingkan sekali lagi jika ada bukti wujud sebarang salah laku," kata kenyataan berkenaan.

Dianggap sebagai "perjanjian hartanah terbesar pernah diadakan" Putrajaya - di bawah Najib - melaburkan dana milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd untuk membeli bangunan bersejarah - tetapi usang - itu pada harga £1.6 bilion (kira-kira RM8.52 bilion).

Pembangunan semula yang dirancang sebanyak tujuh fasa itu turut melibatkan unit-unit kediaman mewah, lot komersial dan ruang pejabat.

Syarikat teknologi terkenal dunia, Apple Inc, juga didakwa akan membuka ibu pejabat Londonnya di bangunan berkenaan.

Sebelum ini Bernama melaporkan fasa pertama projek terbabit - melibatkan sejumlah besar unit kediaman - sudah siap manakala fasa kedua hampir akan bermula.

Dalam lawatan ke London itu Anwar turut bertemu dengan bekas naib presiden AS Al Gore, serta Datuk Bandar London Sadiq Aman Khan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS