Malaysia dan Jepun akan mencergaskan semula dan menambah baik Dasar Pandang Ke Timur, bagi memperkukuh kerjasama dan meningkatkan daya saing perniagaan untuk kedua-dua negara.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut pendidikan, latihan dan pelaburan sebagai antara bidang yang boleh dimanfaatkan bersama oleh Malaysia dan Jepun menerusi kerjasama rapat kedua-dua negara itu.
“Kami gembira kerana Jepun menyambut baik sekali lagi Dasar Pandang Ke Timur, dan kita harap dapat meraih manfaat daripada kerjasama rapat antara Jepun dan Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada dasar itu,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, di Tokyo hari ini.
Dr Mahathir juga berharap universiti-universiti Jepun akan menubuhkan cawangan mereka di Malaysia.
Abe berkata Jepun akan terus menyokong pertumbuhan Malaysia, terutama dalam meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu.
“Menerusi era baharu Dasar Pandang Ke Timur, kita akan membangunkan hubungan, dengan kedua-dua negara kita akan meraih manfaat untuk Malaysia terus makmur, selain mengukuhkan daya saing kebanyakan perniagaan Jepun yang aktif di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata dasar baharu itu juga akan menggalakkan pelaburan dan memperluas peluang dan ruang kepada ramai rakyat Malaysia untuk aktif di Malaysia dan Jepun.
Perdana Menteri berkata penambahbaikan dasar itu termasuk memperkukuh inisiatif pertukaran dalam pendidikan, memperluas pembangunan sumber manusia dan menggalakkan pemindahan dalam sains dan teknologi.
Dr Mahathir juga berkata Abe bersetuju untuk mengkaji permintaan Malaysia untuk mendapatkan kredit yen dari Jepun bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh negara.
"Penyelesaian semua masalah hutang akan membolehkan Malaysia sekali lagi menjadi pasaran yang baik untuk Jepun dan pelaburan Jepun di Malaysia," katanya.
Dasar Pandang Timur diperkenal bagi mengalihkan tumpuan hubungan dengan Barat ke Asia yang pesat membangun, khususnya Jepun, dan membantu memacu perindustrian di Malaysia.
Sementara itu, Abe berharap pertemuan itu akan berjaya membawa kemajuan kepada penyelesaian isu berkaitan persenjataan nuklear dan peluru berpandu.
"Korea Utara kaya dengan sumber dan mempunyai tenaga kerja yang tekun, Apabila Korea Utara melangkah ke arah yang betul, masa depan yang cerah akan terbentang di hadapan.
Saya akan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Mahathir untuk menonjolkan satu mesej yang kuat berhadapan dengan (berkaitan) Korea Utara," katanya.
Sidang akhbar bersama itu disiarkan secara langsung melalui televisyen nasional dan media sosial.
Dr Mahathir, 92, sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun, lawatan pertamanya ke luar negara sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh bulan lalu berikutan kemenangan yang menakjubkan dalam pilihan raya umum, memimpin Pakatan Harapan menentang Barisan Nasional, parti yang telah memerintah selama 60 tahun.
Beliau akan belepas pulang petang ini.
- Bernama
