Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti: Bayaran infaq wajib Ramadan itu apa?
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 2:18 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempertikaikan sebuah parti politik yang mengeluarkan zakat menggunakan nama "infaq wajib Ramadan" dipercayai untuk anggota pertubuhan berkenaan.

Kata Mohd Asri, timbul persoalan sama ada bayaran tersebut sebenarnya ialah zakat fitrah tetapi diselindungkan melalui nama yang lain.

Menurut beliau jika ia memang bayaran zakat, pihak yang mengeluarkan resit berkenaan tidak berhak menerima bayaran daripada orang ramai kerana tidak mendapat izin daripada kerajaan negeri.

"Jika bukan zakat fitrah, apakah yang dimaksudkan (mereka) dengan wajib di situ?

"(Adakah ia) kewajipan syarak, atau pun kewajipan parti?" katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Turut memuat naik gambar resit berkenaan Mohd Asri menjelaskan sesuatu perbuatan yang dihukum wajib mengikut syarak, ia mestilah bersandarkan dalil al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Namun katanya jika ia dianggap kewajipan parti, apakah alasan yang digunakan untuk meletakkan hukuman tersebut.

Mohd Asri selanjutnya berkata, dengan alasan bayaran tersebut adalah wajib, bagaimana pula dengan orang yang tidak mengeluarkan bayaran seperti ditetapkan itu.

Dipercayai resit tersebut dikeluarkan sebagai bukti bayaran zakat fitrah yang dikutip di kalangan penyokong sebuah parti politik di Perlis sempena kedatangan Aidilfitri dijangka Jumaat ini.

Difahamkan resit seumpama itu turut dikeluarkan parti berkenaan di sekurang-kurangnya dua negeri lain, iaitu Kedah dan Pulau Pinang.

Apa kuasa yang ada

Untuk rekod pada 8 Jun lalu Lembaga Zakat Kedah mengeluarkan kenyataan melarang mana-mana pihak yang tidak mendapat tauliah daripada mengutip zakat fitrah di negeri berkenaan.

Kata lembaha terbabit ada pihak tertentu di Kedah mengeluarkan resit yang bukan dikeluarkan badan berkenaan dan ia bertentangan dengan arahan negeri.

"Sultan Kedah mewajibkan semua umat Islam di Kedah menunaikan zakat dan zakat fitrah kepada Lembaga Zakat Kedah selaku amil rasmi yang dinaungi oleh baginda melalui Enakmen Lembaga Zakat Negeri Kedah 2015.

"Justeru, tindakan itu melanggar Undang-undang Negeri Kedah seperti termaktub dalam Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah iaitu menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama," katanya.

Dua hari kemudian PAS Kedah mengarahkan semua pimpinan kawasan menarik balik pemberian resit zakat fitrah yang tertera lambang parti itu bagi mengelak kekeliruan, selain menghentikan tohmahan tidak berasas.

Memetik kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, Sinar Harian melaporkan arahan berkenaan dibuat sejurus selepas ia menjadi tular pada 8 Jun.

“Semua resit itu sudah ditarik balik sejak dua hari lalu, bimbang menjadi isu lebih besar jika disalah erti, tambahan pula berkaitan institusi zakat dan Istana,” katanya dilaporkan akhbar berkenaan.

Bagaimanapun beliau yang juga Yang Dipertua PAS Pendang berkata, pendekatan membayar zakat fitrah melalui parti sudah lama dipraktikkan dan menjadi amalan sejak sekian lama.

Menurut Dr Mohd Hayati, wang zakat fitrah itu tidak pernah diseleweng, cuma diurus sendiri dan diagih mengikut sasaran asnaf yang dikenalpasti.

"Contohnya, kebanyakan daripada kita bayar zakat kepada tok guru,” katanya.

Mohd Asri kemudian melontarkan persoalan lanjut.

"Apa hukum mengutip harta awam menggunakan nama hukum wajib padahal itu tidak benar?

"Atas apa kuasa mereka mewajibkan dan mengutip?" katanya.

Justeru beliau yang aktif membuat teguran kepada parti politik mengingatkan amalan berkenaan adalah antara bukti bahaya parti menggunakan nama agama untuk tujuan politik.

"Di sinilah bahayanya penggunaan nama agama untuk politik kepartian jika membawa kepada keadaan yang seperti ini," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak terbabit di Perlis dan sedang menunggu reaksi daripada mereka.

Lihat Komen
ADS