Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor ampunkan peguam tanpa syarat
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 2:58 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mengampunkan bekas peguamnya Kamal Hisham Jaafar tanpa sebarang syarat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, Sultan Iskandar turut menerima permohonan maaf daripada Kamal Hisham atas segala perbuatan serta tindakannya sama ada secara sengaja atau tidak.

"...menerima permohonan maaf dari Kamal Hisham Jaafar di atas semua dan segala perbuatan, persuratan, perlakuan dan tindakan beliau sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja terhadap tuanku.

"Serta mengambil berkat bulan Ramadan dengan limpah keikhlasan tuanku yang amat sangat, suka sedia dan berkenan menerima permohonan tersebut dan mengampunkan Kamal Hisham Jaafar tanpa apa-apa syarat"Duli yang maha mulia tuanku berharap kamal akan dapat meneruskan kehidupan dengan kesejahteraan aman dan damai," kata kenyataan itu yang turut dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Iskandar.

Kamal Hisham sebelum ini menghadapi 17 pertuduhan di mahkamah melibatkan pecah amanah, aktiviti pengubahan wang haram dan Akta Syarikat 1965.

Beliau pernah menjadi buruan polis Malaysia pada 2012 kerana didakwa atas pelbagai kesalahan antaranya penyelewengan wang syarikat.

Untuk rekod sebelum ini wujud pertikaian di antara istana dan Kamal Hisham.

Bercakap kepada Malaysiakini dari Doha pada 29 Feb 2012 Kamal Hisham mendakwa ada ahli kerabat diraja Johor membuat ugutan bunuh terhadap dirinya.

Katanya dia telah berurusan dengan keluarga diraja Johor itu selama 17 tahun dan mengenali rapat mereka.

“Saya telah mendapat beberapa ugutan bunuh yang dipercayai dibuat oleh seorang kerabat diraja yang mana perkara ini telah saya maklumkan kepada pihak polis.

“Dalam surat saya kepada pihak polis saya menerangkan bahawa laporan polis tentang ugutan-ugutan bunuh yang saya terima masih belum saya buat memandangkan terdapat isu-isu sensitif yang akan timbul susulan kepada laporan saya nanti.

“Saya mempunyai banyak dokumen yang boleh membuktikan kebenaran saya yang boleh membuktikan bahawa penjenayah sebenar adalah orang lain tapi membuat tuduhan terhadap saya kerana mahu menutup kesalahannya.

“Saya sekali lagi mengulangi bahawa campur tangan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara adalah perlu untuk memastikan bahawa pihak Polis Johor menjalankan siasatan dan urusan secara professional dan tulus," katanya.

Lihat Komen
ADS