Berita Malaysiakini

'Tamat monopoli Bernas untuk turun harga beras'

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penamatan monopoli Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas) sebagai pengeluar beras negara mampu menurunkan dan mengawal harga beras di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata ini kerana penamatan monopoli Bernas itu akan membentuk pasaran yang lebih terbuka kepada hasil padi dan beras di negara ini antara lain dengan mewujudkan persaingan yang sihat antara syarikat yang terlibat dalam industri padi dan beras negara.

“Dalam industri padi dan beras negara ini, kita ada pembekalan dan permintaan, jadi bila kita pecahkan monopoli Bernas, kita akan wujudkan persaingan yang lebih baik daripada syarikat-syarikat terlibat bagi penuhi pembekalan dan permintaan itu, seterusnya mampu turun serta kawal harga.

“Namun tamatnya monopoli Bernas ini tidak bermakna Bernas itu terus dihapuskan, tidak. Bernas masih kekal cuma kita mahu membuka pasaran (padi dan beras) itu kepada umum,” katanya kepada pemberita di Muar hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan lebih RM1 juta daripada pelbagai pihak untuk Tabung Harapan Malaysia di Bakri di sini pada majlis yang turut dihadiri Anggota Parlimen Bakri Yeo Bee Yin.

Pada 6 Jun lepas, Salahuddin dilaporkan sebagai berkata kabinet telah bersetuju untuk menamatkan monopoli Bernas setelah terdapat hujah relevan dikemukakan untuk menamatkan monopoli tersebut.

Beliau berkata kementeriannya kini sedang merangka model bagi industri dan pasaran padi beras negara setelah tiadanya monopoli Bernas itu, dan memerlukan maklum balas banyak pihak terutamanya rakyat sendiri.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara; maklum balas dalaman daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; dan sebuah badan yang akan ditubuhkan terdiri daripada pakar ekonomi, korporat dan pertanian.

“Kita akan bandingkan semua maklum balas ini sebelum mengemukakan kertas cadangan model itu kepada pihak kerajaan. Ini peluang untuk rakyat libatkan diri dalam dasar baharu sebagai pihak berkepentingan selepas penamatan monopoli Bernas ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sumbangan yang diberikan oleh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau budaya untuk Tabung Harapan Malaysia adalah sesuatu yang amat membanggakan dan berharap lebih ramai yang tampil membantu untuk usaha itu.

Sementara itu, pengerusi Kumpulan YKL Yeo Koon Lian yang menyumbang RM1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia hari ini berkata sumbangan itu bagi membantu Malaysia semasa ia memerlukan dan membantu negara mengharungi masalah bebanan kewangan yang dihadapi sekarang.

“Saya hanya mahu membantu negara supaya semua rakyat Malaysia akan dapat kehidupan yang lebih baik. Negara menghadapi masalah dan sebagai rakyat ia adalah tanggungjawab saya untuk membantu dalam apa jua cara,” katanya.

- Bernama