Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Raus - ketua hakim singkat dan kontroversi
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 4:11 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Tun Md Raus Sharif bakal menjadi ketua hakim negara paling singkat dalam sejarah Malaysia, tetapi tempoh singkat itu juga tidak asing dengan kontroversi.

Raus dilantik ke jawatan itu pada 4 April 2017. Beliau ketika itu berusia kira-kira 65 tahun - hampir mencecah usia bersara wajib.

Ini menyebabkan beliau akan memegang jawatan itu untuk 122 hari, menjadikannya ketua hakim negara dengan tempoh perkhidmatan paling singkat.

Kerajaan BN terdahulu bagaimanapun mengambil langkah kontroversi untuk melanjutkan perkhidmatan Raus melangkaui had usia yang dibenarkan perlembagaan.

Pejabat perdana menteri mendakwa pendahulu Raus, Tun Arifin Zakaria telah mengesyorkannya sebagai "hakim tambahan". Justeru khidmat Raus akan bermula tanggal 4 Ogos 2017 dan untuk selama tiga tahun.

Ia di sebalik Arifin yang bersara pada 31 Mac 2017. Kaedah sama turut digunakan untuk melanjutkan khidmat Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinudin sebagai presiden Mahkamah Rayuan melangkaui had usia dalam perlembagaan.

Menurut Artikel 122(1) Perlembagaan Persekutuan, ketua hakim negara boleh menasihatkan yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan. Tidak seperti ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan, hakim tambahan tidak mempunyai had usia.

Langkah itu mencetuskan bantahan oleh bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad. Beliau berkata peruntukan "hakim tambahan" bukan untuk melangkaui had usia yang dikenakan terhadap ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan melalui pintu belakang.

Pelantikan Raus juga disambut dengan beberapa tuntutan mahkamah, termasuk daripada Badan Peguam Malaysia, yang mencabar keperlembagaan langkah itu.

Ia meletakkan kehakiman di kedudukan janggal apabila rakan sekerja Raus di Mahkamah Persekutuan perlu memutuskan sama ada kedudukannya mengikut perlembagaan atau tidak.

Raus dan Zulkefli akhirnya memutuskan untuk meletakkan jawatan susulan penubuhan pentadbiran baru pada 9 Mei 2018.

Keluar juga kontroversi

Seperti lanjutan khidmat mereka, pengunduran itu juga mempunyai kontroversi sendiri.

Raus dan Zulkefli dilaporkan bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin secara berasingan. Kedua-duanya memberitahu mereka agar berundur.

Kalangan pengamal undang-undang, termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, mengkritik pertemuan itu yang disifatkan sebagai tidak wajar

Gopal juga berkata hakim sepatutnya menolak panggilan daripada mana-mana pihak eksekutif.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata Raus dan Zulkefli bertemu dengan Mahathir pada 15 Mei lalu bagi menyampaikan hasratnya untuk berundur.

Ketua Pendaftar berkata mereka menghantar surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun dan Agong telah menerima perletakan jawatan itu yang berkuatkuasa 31 Julai ini.

Ia menjadikan tempoh khidmat Raus selama 484 hari - ketiga paling singkat antara 14 individu yang pernah menduduki jawatan tertinggi kehakiman negara itu.

Abdul Hamid Mohamad berkhidmat selama 352 hari sebelum bersara kerana mencapai usia persaraan, manakala Sultan Azlan Shah Sultan Yussuf Izzuddin Shah meletakkan jawatan selepas 447 hari untuk menjadi Sultan Perak.
 

Lihat Komen
ADS