terjemahan Satu soalan panas sedang menunggu Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam sidang Parlimen yang akan berlangsung minggu depan.
Beliau akan didesak supaya mendedahkan kos kayu bermutu tinggi yang dihadiahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe untuk membina istananya.
Dalam kenyataannya, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, Syed Hamid akan ditanya soalan tersebut kerana sehingga kini parlimen dan kabinet tidak diberitahu mengenai nilai hadiah yang diberi Dr. Mahathir kepada Mugabe itu.
Dr. Mahathir minggu lalu dibawa melawat istana baru Presiden Zimbabwe itu dalam rangka lawatan tiga harinya ke negara. Istana berkenaan dilaporkan bernilai RM34 juta.
Menurut Lim, Syed Hamid sepatutnya melaporkan ke Parlimen nilai kayu yang dihadiahkan kepada Mugabe itu kerana para pembayar cukai mahu tahu berapa banyak mereka kena bayar untuk memelihara hubungan mesra Mahathir-Mugabe itu.
" Rakyat amat tertarik dengan hubungan akrab antara 2M (Mahathir-Mugabe) ini," ujarnya.
Parlimen akan membahaskan belanjawan Kementerian Luar di bawah bajet 2006 minggu depan.
" Mungkin Dr. Mahathir patut memberitahu ahli-ahli parlimen tentang pandangannya terhadap istana Mugabe yang dilaporan mempunyai 25 bilik dan dilengkapi dengan bilik mandi dan spa serba mewah itu," ujar Lim lagi.
Istana Mugabe itu juga dikatakan tiga kali lebih besar daripada istana rasmi Presiden yang terletak di Harare, ibunegara Zimbabwe.
Lim juga menyifatkan tindakan Mugabe membina sebuah istana baru di negara yang separuh daripada rakyatnya bergantung pada bantuan makanan dari luar untuk hidup sebagai suatu penyelewengan dan pembaziran dana awam.
" Paling menyedihkan kita Malaysia menyokong perbuatan Mugabe itu," tambahnya.
Menurut Lim lagi, Zimbabwe sejak diperintah oleh Mugabe selama 25 tahun ini semakin teruk ekonominya. Negara itu mempunyai kadar inflasi 600 peratus, kadar penganggurannya 80 peratus dan pendapatan perkapitanya merosot separuh berbanding angka ketika Mugabe mula-mula berkuasa dulu.
Ribuan rakyatnya dilaporkan mati akibat wabak penyakit atau penderaan politik. Kira-kira 12.7 juta rakyatnya dijangkiti Aids.
Zimbabwe juga menghadapi krisis kemanusiaan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan baru sahaja menyatakan kebimbangannya terhadap nasib 700,000 penduduk negara itu yang kehilangan tempat tinggal dalam operasi pembersihan kawasan setinggan di Harare beberapa bulan lalu.
"Adakah Dr. Mahathir menghabiskan sedikit masanya bercakap mengenai krisis kemanusiaan dengan diktator Zimbabwe itu sepanjang lawatan tersebut?" soal Lim.
