Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jangan terpancing dengan perbezaan hingga timbulkan perpecahan’
Diterbitkan:  Jun 14, 2018 12:38 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak rakyat supaya jangan sampai mudah terpancing dengan perbezaan sehingga menimbulkan perpecahan.

Malah, kata beliau, sesungguhnya pengajaran terpenting adalah perdamaian itu harganya sangat mahal.

“Oleh itu, amat penting kita tanamkan kepada generasi muda agar sentiasa bertoleransi terhadap perbezaan, jangan memaksakan kehendaknya yang belum tentu kebenarannya.

“Menjadi Muslim yang sentiasa merangkul bukan memukul, mengajak bukan mengejek, sentiasa mendidik bukan mengherdik dan yang sentiasa bertoleransi akan perbezaan, kerana perbezaan itu indah jika mengambil kira dari segi positifnya.

“Sesungguhnya pengajaran terpenting adalah perdamaian itu harganya sangat mahal,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menjemput semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa dan agama bersama menyambut Aidilfitri bersama umat Islam sebagai lambang perpaduan.

Kepada umat Islam, bekas timbalan perdana menteri itu juga mengajak mereka untuk kembali membina iltizam meneruskan perjuangan dengan berpaksikan kepada kejujuran hati suci mentarbiahkan keesaan Ilahi dan bersama menyalakan obor suci agama.

“Saya yakin dengan memperkukuhkan jalinan ukhwah sesama Muslimin dan Muslimah, kita juga tetap memelihara keharmonian umat yang pelbagai latar kehidupan, budaya, keturunan dan pegangangan agama, untuk kita sama sama membena negara agar sentiasa terpelihara dari sebarang musibah dari kekihlafan insaniah,” katanya.

Kepada anggota Umno pula, Ahmad Zahid berpesan supaya mereka sentiasa memberi sokongan kepada pemimpin dan parti dalam meneruskan perjuangan suci demi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

“Sewajarnya dalam kita melalui semangat kehadiran syawal selepas mengerjakan ibadat berpuasa, bertahmid, berzikir dan bertarawih dalam sebuah jemaah suci tanpa melupakan witir dalam selawat kepada baginda junjungan Rasulullah SAW, saya mengundang saudara-saudari untuk memperkukuhkan ukhwah hubungan sesama insan sambil berikrar memperbaiki setiap kealpaan dan kesilapan diri tanpa melupakan nikmat serta kebesaran Allah SWT.”

Beliau mengakhiri perutusannya itu dengan memetik kata-kata tokoh pemikir Islam, Imam Al-Ghazali.

“Yang jauh itu waktu,
Yang dekat itu mati,
Yang besar itu nafsu,
Yang berat itu amanah,
Yang mudah itu berbuat dosa,
Yang panjang itu amal soleh,
Yang indah itu saling memaafkan.”

Lihat Komen
ADS