Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Pemuda BERSATU didakwa ‘sembelih’ peniaga bazar Ramadan

EKSKLUSIF l Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan dilaporkan terpalit dengan skandal berikutan dakwaan bahawa seorang pemimpin Pemuda BERSATU menggunakan hubungan politik untuk mengaut ratusan ribu ringgit kerana menganjurkan bazar Ramadan di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang juga adalah bendahari DAP turut terheret dalam kancah itu.

Semuanya berhubung satu surat sokongan yang dikeluarkannya kepada Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim untuk mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menganjurkan bazar itu.

Surat dari DBKL kepada Mohd Noorhisyam, yang menjadi tular di media sosial, menunjukkan bahawa 80 lot telah diluluskan untuk perniagaan selama sembilan hari dengan bayaran RM6,238.

Ini termasuk bayaran RM180 bagi setiap lot (RM20 sehari) untuk pelesenan, ruang dan bayaran pembersihan untuk bazar itu yang bermula dari Pasar Raya Myidn di Pudu ke Masjid India.

Walau bagaimanapun, dakwaan timbul menyatakan bahawa Mohd Noorhisyam mengaut sehingga RM5,000 dalam bentuk sewa dari setiap lot melalui orang tengah.

Timbalan Setiausaha, Persatuan Peniaga dan Penjaja, Lorong Tuanku Abdul Rahman, Abdul Rahman Sulaiman, mendakwa orang tengah berkenaan memintanya membayar sebanyak RM4,000.

“Untuk orang lama dia bagi RM4,000, tapi untuk yang baru dia sembelih betul-betul, minta RM5,000.

“Kalau dia kutip RM5,000 untuk 80 lot, (bermakna dia membuat) RM400,000 dah,” katanya kepada Malaysiakini.

Janji tak kutip duit

Sumber DBKL memberitahu kami bahawa pihaknya enggan meluluskan baazar itu pada mulanya kerana aduan akan berlaku kesesakan.

Namun mereka akur selepas Mohd Noorhisyam memperoleh surat sokongan daripada Fong (foto, bawah) serta janji bahawa pemilik gerai tidak akan menghalang pintu masuk ke kedai-kedai di kawasan itu.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa Mohd Noorhisyam berjanji kepadanya bahawa tiada wang akan dikutip.

"Dia berjanji bahawa mereka tidak akan mengutip duit dan peniaga tidak akan menghalang kedai-kedai, saya berikan surat sokongan untuk membantu peniaga yang gagal mendapatkan lesen dari DBKL," kata ahli parlimen selama lima penggal itu.

Fong juga menafikan dirinya mendapat sebahagian daripada wang yang dikutip itu dari Mohd Noorhisyam atau rakannya.

Beliau berkata jika tuduhan "salah laku" itu mempunyai asas, beliau akan membuat laporan dengan SPRM mengenai perkara itu.

Ketua Bukit Bintang BERSATU, Zailani Isausuludin, sebaliknya, mendakwa bahawa Mohd Noorhisyam (foto, bawah) bertindak tanpa pengetahuannya dan berjanji akan juga membuat laporan SPRM.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja, DBKL, Anwar Mohd Zain memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya tidak menyedari bahawa Mohd Noorhisyam didakwa mengutip bayaran begitu tinggi untuk setiap lot bazar berkenaan.

“(Jika ada) orang yang mengadu ada penjualan petak itu, kita boleh ambil tindakan,” katanya.

Malaysiakini cuba menghubungi Mohd Noorhisyam pada petang tadi untuk mendapatkan ulasannya tetapi diberitahu supaya menghubunginya dalam masa 10 minit kemudian kerana beliau sedang memandu.

Walau bagaimanapun, percubaan untuk menghubungi semula ternyata sia-sia kerana nombornya tidak lagi berada dalam perkhidmatan.

 

Lihat Komen
ADS