Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua bahagian berang nama BERSATU diheret dalam skandal bazar

Dakwaan skandal bazar Ramadan yang terjadi di Kuala Lumpur melibatkan pemimpin pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyebabkan ketua bahagian parti itu berang.

Ketua Bahagian BERSATU Bukit Bintang Zailani Isausuludin berkata dia hanya tahu tentang tindakan yang didakwa dilakukan Mohd Noorhisyam Abd Karim apabila dia didatangi peniaga berhubung perkara itu.

"Perkara ini terjadi di luar pengetahuan saya. Kami tidak tahu apa-apa sehingga isu ini timbul dan peniaga datang berjumpa saya mengadu soal tapak bazaar yang sangat mahal.

"Jika dia guna nama sendiri atau sebagai warganegara untuk melakukan hal ini, itu lain, namun kenapa dia guna nama parti dan kenapa dia guna jawatannya?" katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Noorhisyam (gambar) didakwa menyalahgunakan pengaruh politik bagi mendapatkan 80 tapak bazar di Jalan Masjid India dan menyewakannya semula sehingga RM5,000 untuk satu lot dan mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mengenakan bayaran RM6,238 untuk kesemua 80 tapak bazar ramadan kepadanya.

Zailani berkata Mohd Noorhisyam, yang dipilihnya sendiri untuk menjadi ketua Pemuda bahagian, melanggar prinsip Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dia menambah, peniaga seharusnya berurusan secara langsung dengan DBKL dan bukannya melalui orang tengah seperti didakwa terjadi ketika di bawah pemerintahan BN.

Zailani turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara berkenaan.

Berjanji tak libatkan wang

Sementara itu, terdapat dakwaan bahawa setiausaha BERSATU bahagian Bukit Bintang Razak Zabir dan Ketua penerangan Azrul Feisal Abdullah turut terlibat dalam skandal itu.

Kedua-dua individu itu bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

"Saya nafikan sebarang penglibatan," kata Azrul kepada Malaysiakini.

Sementara Razak berkata penglibatannya 'sekadar' memberi surat sokongan kepada Mohd Noorhisyam bagi pihak bahagian, untuk berjumpa dengan Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Loon.

"Mohd Noorhisyam buat kertas cadangan untuk terlibat (dalam bazar) dan dia minta surat sokongan, itu saja," katanya.

Mohd Noorhisyam dikatakan telah berjumpa Fong bagi mendapatkan satu lagi surat sokongan bagi meyakinkan DBKL.

Fong memberitahu Malaysiakini bahawa dia bersetuju memberi surat sokongan selepas pemimpin Pemuda BERSATU itu berjanji tiada wang terlibat dan bazar itu tidak akan menghalang aliran trafik.

Malaysiakini menghubungi Mohd Noorhisyam petang tadi namun dia meminta untuk menghubungi sepuluh minit kemudian kerana mendakwa sedang memandu.

Cubaan menghubunginya selepas itu tidak berjaya kerana nombor itu tidak lagi berada dalam perkhidmatan.

Lihat Komen
ADS