Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: K’jaan tiada dana untuk projek kereta nasional baru
Diterbitkan:  Jun 15, 2018 3:15 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia tidak mempunyai dana awam yang diperlukan bagi memulakan satu projek kereta nasional baru seperti yang dibayangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, Lim berkata beliau telah menjelaskan kepada perdana menteri bahawa projek itu perlu disokong oleh sektor swasta.

"Jika ada pihak swasta yang mahu melakukannya di Malaysia dengan menggunakan wang mereka sendiri, saya fikir ia adalah sesuatu yang patut kita kaji - tetapi bukan menggunakan i dana awam," kata Lim dalam satu temu bual dengan Channel NewsAsia.

Dr Mahathir semasa menghadiri sidang Nikkei di Tokyo, Jepun berkata beliau berhasrat menjalankan projek kereta nasional baru selepas hampir separuh kepentingan Proton dijual kepada China.

Ini katanya, boleh dilakukan dengan bantuan negara-negara Asean dan rakan-rakan lain.

Sebanyak 49.9 peratus saham Proton dijual kepada Geely tahun lalu ketika pentadbiran perdana menteri  Datuk Seri Najib Razak.

DRB-Hicom, milik taikun Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, masih memiliki 50.1 peratus saham.

Lim juga dipetik oleh CNA sebagai berkata beliau secara peribadi, percaya idea untuk syarikat kereta baru sepatutnya datang dari pihak swasta dan tiada cadangan dikemukakan setakat ini.

Dr Mahathir berkata, projek kereta nasional baru akan membantu meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia.

Walau bagaimanapun, idea itu juga mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang mempersoalkan tindakan berkenaan susulan langkah-langkah penjimatan yang diambil oleh kerajaan baru untuk membayar hutang dan liabiliti bernilai RM1trilion yang didakwa diwarisi daripada Datuk Seri Najib Razak yang memimpin negara sebelum ini.

Antara langkah-langkah berjimat cermat ini termasuk pemansuhan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura, dan kajian semula projek RM60 bilion Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dengan China.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS