Berita Malaysiakini

Mohamad Sabu makin serasi jadi menteri pertahanan

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

"Mencabar, tercabar dan bagi saya ia adalah antara tempat yang paling penting bagi sesebuah kerajaan," reaksi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika ditanya mengenai perasaannya semasa mula-mula bertugas di kementerian itu.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu bagaimanapun berkata selepas lebih tiga minggu beliau kini semakin dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di kementerian itu dan peranan yang harus dimainkan selaku Menteri Pertahanan.

"Keluarga Mindef (Kementerian Pertahanan) ini keluarga yang penuh dengan protokol, yang paling banyak bertemu dengan baginda sultan dan raja-raja sebab setiap raja dan baginda sultan ada menaungi satu cabang perkhidmatan tertentu dalam Angkatan Tentera Malaysia.

"Jadi saya yang hidup sebagai seorang yang biasa ini kena berada dalam suasana protokol terutama berkaitan soal pakaian saya dan perkara-perkara lain dan bagi saya ini satu benda baharu dan cabaran, tapi saya boleh insya-Allah menyesuaikan diri dalam masa yang singkat," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Wisma Bernama, baru-baru ini.

Walau humor tapi serius

Mohamad bersama 12 lagi anggota Kabinet yang lain mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 21 Mei lalu selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara berkata walaupun tugas memimpin sebuah kementerian yang berperanan penting dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara amat berat, namun beliau yakin mampu melaksanakannya dengan dibantu pegawai berpengalaman di kementerian itu.

Katanya, walaupun dikenali sebagai seorang yang berperwatakan humor dan suka berjenaka, namun beliau menegaskan amat mengambil serius mengenai sebarang keputusan yang dibuat berkaitan kementerian itu dan mahu keputusan itu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Bila keputusan dibuat dalam mesyuarat kami kena serius dan sebarang keputusan yang diambil kena tegas dan pertahankan keputusan itu. Jadi mereka yang kenal rapat dengan saya mereka tahulah yang mana satu yang bergurau, melawak dan yang mana satu serius," katanya.

Ditanya sama ada beliau tahu akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad berkata pada mulanya beliau menjangkakan akan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan telah menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan-rakan.

Namun katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mengumumkan beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan, manakala Menteri Dalam Negeri dijawat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengenai kehidupan anggota keluarganya susulan pelantikannya sebagai menteri, Mohamad berkata ia tidak banyak berubah, namun tuntutan tugas baharunya kini lebih terasa apabila terpaksa keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam.

"Kadang-kadang terasa, sepatutnya pada usia saya ini sudah pencen, tapi saya umur lebih 60 tahun baru hendak mula bekerja, jadi anak-anak ada juga bergurau mengenai itu dan perli saya.

Dari Shah Alam ke Bukit Persekutuan

"Memang berasa sedikit letih tapi nak mengaku letih pada umur 60 lebih, tidak boleh sebab bos saya Tun Dr Mahathir umur 93 tahun masih bekerja, jadi Tun itu macam memberi motivasi kepada saya untuk terus bekerja," katanya.

Mohamad juga menyatakan bahawa beliau dan keluarganya akan berpindah dari kediaman mereka di Shah Alam ke kediaman baharu yang disediakan kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

Saya tinggal di rumah teres, pagi-pagi pengiring bermotosikal sudah datang jemput saya dan orang-orang sekeliling tu memang seronoklah berjiran dengan menteri, tapi dua tiga bulan lagi mereka mungkin tidak selesa dengan bunyi siren dan sebagainya.

"Saya akan berpindah ke rumah kerajaan insya-Allah yang terletak di sekitar Bukit Persekutuan, rumah lama, sesetengah orang panggil rumah Dracula," katanya sambil ketawa.

- Bernama