Unit Komunikasi Strategik Umno mengingatkan agar pihak selain anggota Umno tidak mencampuri urusan pemilihan parti itu yang akan berlangsung 30 Jun ini.
Kenyataan itu dibuat pada hari pencalonan pemilihan Umno berakhir yang menyaksikan jawatan-jawatan tertinggi parti itu dibuka untuk ditandingi, yang turut mengundang pendapat dan ulasan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Usahlah sibuk dengan parti orang lain sedangkan kemelut dalam HARAPAN sudah pun mula terserlah, terutama dalam kes agihan gerai Ramadan yang dikatakan membabitkan anggota Parlimen Bukit Bintang.
"Umno tidak ingin mencampurinya kerana kerajaan sekarang ialah kerajaan 'suci' pimpinan Dr Mahathir, yang dipenuhi orang yang bebas daripada melakukan kesilapan.
"Jadi, janganlah cuba berenang di kolam orang jika kita sendiri tidak membenarkan orang lain menghampiri kolam kita," katanya.
Skandal HARAPAN yang dimaksudkan adalah berhubung dakwaan penglibatan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bukit Bintang Mohd Noorhisyam Abdul Karim dalam pengurusan bazar Ramadan dengan menggunakan nama parti itu.
Skandal itu turut dikaitkan dengan Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun kerana beliau telah mengeluarkan surat pengesyoran kepada pemimpin Pemuda BERSATU berkenaan.
Fong bagaiamanapun mendakwa surat berkenaan dikeluarkan pihaknya selepas Mohd Noorhisyam berjanji ia tidak melibatkan wang.
Mengulas lanjut tentang pemilihan Umno, kenyataan itu turut menyifatkan ia sebagai "di bawah semangat kekeluargaan".
Jelasnya, perkara itu menunjukkan amalan demokrasi subur di dalam Umno dan berbeza ketika Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini merupakan pengerusi HARAPAN, menerajui parti itu.
"Ini mencerminkan suburnya amalan demokrasi sejak bermulanya era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak memikul tugas presiden parti.
"Ini berlainan dengan 'penutupan' pintu pertandingan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden apabila jawatan nombor satu dan nombor dua 'digalakkan' tanpa pertandingan.
"Ini bersamaan dengan cara Lim Kit Siang memimpin DAP, yang dikecam dan dibenci oleh ahli serta pemimpinnya pada zaman itu," katanya.
Kenyataan itu juga menyifatkan tindakan mencampuri urusan pemilihan Umno sebagai langkah provokasi untuk melaga-lagakan sesetengah pemimpin yang menawarkan diri untuk merebut jawatan yang ditandingkan.
"Ini adalah hal-ehwal dalaman parti Umno, dan bekas pemimpin dan ahli yang kini berada dengan PKR atau PPBM tidak berhak campur tangan.
"Sama ada memilih tokoh tertentu atau meramalkan keputusan pemilihan, ini adalah satu cubaan kurang waras bagi mereka yang di luar Umno.
"Kami hairan dengan kegiatan campur tangan ini," katanya.