Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelan alternatif HSR elak k'jaan bayar penalti RM500 juta
Diterbitkan:  Jun 18, 2018 2:00 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Satu alternatif terhadap projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang ditangguhkan dengan harga yang lebih murah dicadangkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan, lapor media tempatan hari ini.

Cadangan itu merancang menghubungkan keretapi ke Singapura dengan menaik taraf infrastruktur landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM Berhad) sedia ada hanya bernilai RM20 bilion - lebih rendah daripada anggaran HSR yang menelan belanja antara RM60 bilion hingga RM70 bilion, lapor The Star memetik sumbernya.

Menurut laporan itu, pelan alternatif berkenaan akan melihat masa perjalanan ke Singapura meningkat kepada 130 minit dari 90 minit dengan HSR.

Walau bagaimanapun, pelan itu memerlukan pihak ketiga mengendalikan laluan kereta api KTM.

"Pihak ketiga akan bersedia untuk melabur dalam lokomotif yang lebih baik dan menjalankan operasi secara komersil.

Kos dikurang sehingga RM50 bilion

"Masa perjalanan berpotensi dikurangkan," kata seorang perunding, petik laporan itu.

Cadangan baru itu juga akan menyelamatkan kerajaan daripada membayar penalti RM500 juta kerana membatalkan HSR kerana ia tidak akan melibatkan rundingan semula dengan Singapura.

"Kos akan dikurangkan lebih daripada RM50 bilion, iaitu 70 peratus lebih rendah berbanding dengan (nilai kos) HSR. Ini tidak termasuk kos pengambilan tanah dan pertambahan kos pembiayaan yang mungkin berlaku dengan projek HSR.

"Menaik taraf landasan kereta api sedia ada akan melibatkan pengambilan tanah yang minimum, gangguan minimum terhadap sistem yang ada dan melengkapi seluruh rangkaian kereta api nasional.

"Ia tidak akan membawa kepada pertindihan garisan kereta api," petik laporan itu lagi.

Naik taraf laluan KTMB

Menurut sumber, rancangan untuk menaik taraf laluan keretapi sedia ada lebih murah berbanding dengan cadangan memperluaskan Express Rail Link (ERL) dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Singapura, yang boleh mencecah RM30 bilion.

"Pelan pelanjutan ERL yang dicadangkan akan melibatkan penjajaran sepenuhnya dari KLIA dan tidak banyak perbezaan dalam masa perjalanan, berbanding rancangan untuk menaik taraf infrastruktur sedia ada," kata sumber dalam laporan itu.

Tidak lama selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek HSR yang ditandatangani pentadbiran BN sebelum ini akan dibatalkan.

Beliau juga menjelaskan projek itu telah ditangguhkan kerana ia terlalu mahal, terlalu singkat jaraknya dan Malaysia mampu menanggung kosnya buat masa terdekat ini.

Lihat Komen
ADS