Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebuah pertubuhan untuk orang kurang upaya mahu supaya kerajaan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) Jasmie Shafie berkata biarpun golongan itu dikatakan minoriti dalam masyarakat majmuk, mereka tidak mahu keluh kesah dan kehendak mereka diabaikan.

"Semasa kerajaan terdahulu, kami dapat peruntukan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang banyak membantu kami dari pelbagai sudut jadi kami mahu kesinambungan itu ada seperti mana apa yang kami dapat atau lebih baik daripada itu supaya kami tidak berasa dipinggirkan.

"Kalau kita tengok satu persatu pengumuman dibuat untuk masyarakat normal lain yang menerima pelbagai kemudahan dari segi peluang pekerjaan dan banyak lagi, khidmat kami dianggap hanya diperlukan pada masa tertentu sahaja dan kami tidak mahu (dilayan) sebegitu," katanya kepada Bernama di sini.

Jasmie juga memohon kerajaan baharu ini menitikberatkan tentang elaun pekerja cacat (EPC) yang kini berjumlah RM400 agar ditingkatkan kepada RM800 bagi menampung beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Geran pelancaran perniagaan

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang umumnya bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan turut memerlukan pertambahan jumlah geran pelancaran perniagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kini berjumlah RM2,700.

"Saya mohon nilai geran itu ditingkatkan kepada RM5,000 sebab nak diikutkan, golongan kami ini lebih cenderung kepada perniagaan dan kalau berniaga kuih pun kos beli mesin melebihi jumlah yang diberi,” katanya.

Beliau berharap skim bantuan perniagaan OKU kini juga diteruskan selain syaratnya dapat dilonggarkan bagi memberi semangat buat golongan itu yang berhasrat berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Pertubuhan itu yang menggabungkan orang kelainan upaya kerdil bekerja dan tidak bekerja juga mahu kerajaan menambah lagi kemudahan prasarana untuk golongan itu di kebanyakan tempat awam termasuk sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1984 itu sehingga kini dianggotai 996 warganegara Malaysia berbilang kaum.

Setakat ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat belum lagi mengumumkan sebarang berita baik buat golongan OKU.

- Bernama

Lihat Komen
ADS