Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tak ada upacara 'melutut' pada sambutan hari lahir Dr M, kata penganjur

  Upacara hidang teh yang akan diadakan dalam sambutan hari kelahiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke-93 bulan depan tidak akan menyebabkan kontroversi, kata Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH).t.

Presiden KLCAH Chai Kee Kan memberitahu Malaysiakini bahawa upacara hidang teh berkenaan tidak akan melibatkan acara melutut di depan perdana menteri.

"Upacara itu akan lebih ringkas. Ia akan menunjukkan penghormatan kepada orang tua. Saya percaya ia tidak akan menyebabkan kontroversi (seperti sebelum ini).

"Upacara itu akan melibatkan kanak-kanak menghidangkan teh kepada perdana menteri dan isteri," katanya.

Majlis berkenaan akan diadakan pada 22 Julai di Pudu, Kuala Lumpur dan dijangka melibatkan 200 pemimpin persatuan. Setiap meja akan berharga RM500.

Presiden kehormat kumpulan itu Liew Poon Siak berkata persembahan dalam majlis berkenaan akan melibatkan tarian pelajar sekolah dan nyanyian koir pelajar universiti.

Selain itu, kata Liew, 25 penyumbang majlis berkenaan berikrar akan mendermakan RM100,000 kepada Tabung Harapan Malaysia pada malam berkenaan.

Tambahnya, dia sendiri sudah mendapatkan persetujuan Dr Mahathir awal bulan ini dan tarikh berkenaan dipilih sendiri oleh Pejabat Perdana Menteri.

Jelas Liew, Dr Mahathir yang berusia 92 tahun menunjukkan semangat yang menakjubkan dalam menerajui Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memenangi pilihan raya umum, maka persatuan Cina teruja untuk memberi penghormatan.

"Ia sangat menakjubkan. Beliau boleh menempuh kesusahan untuk membawa perubahan. Ia menunjukkan ketabahan.

"Semangat perdana menteri dan isterinya adalah sesuatu yang perlu dirayakan. Kami juga inginkan keharmonian di Malaysia," katanya.

Kumpulan berkenaan pada 2001 menganjurkan majlis hidang teh kepada Dr Mahathir namun penganjur majlis berkenaan dikecam selepas menampilkan kanak-kanak dalam pakaian Manchurian.

Rakyat Cina di Malaysia kebanyakkan adalah keturunan Han, yang dijajah oleh dinasti Qing dari keturunan Manchurian sehingga Perang Dunia Kedua.

Lihat Komen
ADS