Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM ingatkan penjawat awam hentikan budaya ‘membodek’
Diterbitkan:  Jun 21, 2018 12:10 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengingatkan bahawa untuk menggalas jawatan ketua jabatan atau pegawai kerajaan, seseorang itu mesti berani memberi nasihat yang betul.

Sambil memberi amaran kepada mereka, termasuk kepada semua menteri, ketua setiausaha (KSU) dan ketua-ketua jabatan supaya menghentikan budaya melanggar sempadan kuasa, beliau berkata, masing-masing perlu menjalankan tugas mereka.

"Buat kerja masing-masing jangan masuk campur kerja orang lain. Bahkan saya bagi amaran, pegawai kerajaan mulai dari sekarang ‘stop bodek-bodeking’ ini.

“Sepatutnya menteri tak ada kuasa bagi projek tugasnya hanya buat dasar. Sebab itu, KSU dan ketua jabatan kena berani katakan tidak.

“Jangan bodek, jadi yes man biar ditendang asalkan kita buat kerja betul,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian dalam satu temubual di pejabatnya, di Putrajaya, semalam.

Mohd Shukri turut mencadangkan agar kerajaan meneliti perkara benar dan memberi penghargaan kepada mereka yang bekerja dengan penuh integriti dan bukannya kaki bodek.

“Orang cakap benar kita bagi penghargaan, orang kaki bodek kena tendang keluar, kerana golongan pengampu inilah merosakkan sistem negara kita.

“Nak marah saya, marahlah, saya kata perkara yang benar. Memang perit jika kita jujur tapi ia berbaloi, kalau tak berani jangan jadi KSU, ketua jabatan,” katanya.

Beliau berkata, akibat pelanggaran sempadan tugas sebenarnya mendorong kepada penyalahgunaan kuasa sedangkan pengasingan kuasa termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Mohd Shukri berkata, pengasingan kuasa iaitu - legislatif, eksekutif dan kehakiman - wajar dipatuhi serta sempadan kuasa itu perlu jelas di setiap peringkat.

“Jangan satu sama lain langgar sempadan tugas orang lain, itu yang jadi jadi huru-hara.

“Menteri, timbalan menteri, orang politik buat kerja mereka, pegawai kerajaan, swasta kumpulan pelaksana ini buat kerja mereka begitu juga dengan kehakiman buat kerja masing-masing,” katanya.

Susulan itu, ketua SPRM itu mengingatkan agar setiap peringkat kuasa tidak menyibuk dalam tanggungjawab orang lain.

“Contohnya menteri gubal dasar untuk buat satu pembangunan di sesebuah kawasan, pelaksananya ialah eksekutif jadi biar eksekutif ini buat kerja mereka. Kumpulan legislatif ini jangan sibuk campur, suruh pilih orang itu, orang ini, tak boleh, semua mesti ada batasan tugas yang jelas.

“Manakala ketua-ketua jabatan semua peringkat terutamanya ketua-ketua jabatan pelaksana ini, mesti memberi nasihat yang jelas dan betul kepada menteri, timbalan menteri, kepada pembuat dasar.

"Mereka harus beri nasihat yang jelas, kalau perkara betul kata betul, mesti kata yang betul itu betul, jangan hanya tahu kata yes..yes..yes walaupun benda itu tak betul, dia mesti berani,” katannya.

Beliau turut menasihati ketua-ketua jabatan ini agar merujuk SPRM jika tidak jelas dengan arahan.

“Kalau KSU atau ketua jabatan tidak berani bagi nasihat, jangan jadi KSU, jangan jadi ketua jabatan.

“Jika tak berani untuk berkata tidak kepada sesuatu yang tidak betul, baik tidak usah pegang jawatan itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS