Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan bina rangka kerja untuk kanak-kanak terbantut bersama UNICEF

Kerajaan bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencapai persetujuan membina satu kerja khusus untuk pembangunan kanak-kanak terbantut di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata rangka kerja Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak itu akan menumpukan fokus terhadap program pembangunan kanak-kanak kurang bernasib baik bagi memastikan nasib mereka terbela di masa hadapan.

“Saya berbesar hati untuk mengatakan UNICEF komited untuk membantu kami dalam usaha ini.

“Semua kementerian, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang saya kendalikan juga akan bersama-sama untuk menjayakan usaha ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Wan Azizah mengadakan mesyuarat berhubung rangka kerja tersebut bersama Menteri Kesihatan Dr Dzulkelfy Ahmad, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun dan wakil UNICEF.

Jelas Wan Azizah, langkah merangka program tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam mengatasi masalah berhubung pembangunan kanak-kanak kurang bernasib baik di peringkat akar umbi.

“Kita tidak boleh mengatakan kita adalah masyarakat yang bertanggungjawab jika mengabaikan mereka yang sangat memerlukan perhatian,” ujarnya lagi.

Rangka kerja ini dijangka disiapkan dalam tempoh sebulan dan Jawatankuasa Sekretariat setiap kementerian akan memantau proses tersebut bagi memastikan masalah melibatkan kanak-kanak terbantut mendapat pembelaan.

Enggan ulas kritikan Latheefa

Sementara itu, Wan Azizah enggan mengulas kritikan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya terhadap Tabung Harapan Malaysia yang disifatkan sebagai 'murahan'.

“Kita ingat tak payahlah dan perkara itu telah dijelaskan oleh YB Hannah Yeoh,” katanya ringkas.

Semalam, seorang pelajar sekolah rendah mengetepikan sementara impiannya memiliki satu set dram apabila menggunakan wang simpananya selama beberapa bulan untuk disumbangkan kepada tabung itu.

Ervin Devadasan, 12, menyerahkan wang itu kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pada satu sidang media di pusat khidmat Anggota Parlimen Segambut, Hannah Teoh.

Bagaimanapun langkah menerima sumbangan pelajar tahun enam itu disifatkan Latheefa sebagai mengarut, malah beliau turut menyatakan dana berkenaan bersifat politik.

Menerusi Twitter Latheefa Koya berkata: "Tabung Harapan (Malaysia) ialah dana bersifat politik. Jadi membawa seseorang berusia 12 tahun untuk menyerahkan simpanannya adalah mengarut dan agak murahan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS