Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hutang RM1 trilion: Pihak swasta dunia tak berpihak pada Najib

ULASAN | Walaupun mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus menegur cara dan corak pengiraan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dimana contingent liabilities (tanggungan bersyarat) telah dimasukkan ke dalam akaun hutang negara, namun pihak swasta seluruh dunia tidak berpihak kepada Najib lagi.

Terdapat dua sebab mengapa terjadi sedemikian.

Pertama, ekonomi Malaysia sememangnya berat sebelah. Banyak syarikat swasta Malaysia, sebenarnya mempunyai penajaan pihak kerajaan pusat atau negeri.

Ini merupakan salah satu faktor dimana Dasar Ekonomi Baru mungkin telah menyeleweng. Kerana sasarannya bukan lagi untuk membantu rakyat miskin jelata.

Tetapi untuk memperbanyakkan ekuiti dan saham-saham syarikat yang berbentuk begini, dimana setengah saham masih terletak di tangan kerajaan dan setengah lagi di pihak swasta.

Cara urus niaga ini tidak diterima oleh banyak pusat pengajian di Barat, atau pun, Jepun sebagai urus niaga yang sah. Ia mengandungi elemen-elemen bantuan kerajaan, biar pun tidak secara terbuka.

Pengiraan Lim langkah radikal

Kedua, kerajaan pusat serta negeri telah membantu banyak pihak swasta dengan tidak berbelah bagi. Cara pengiraan Lim Guan Eng merupakan langkah radikal serta pertama kali demi memisahkan hubungan-hubungan politik yang tidak sihat ini.

Jika tidak, perakaunan hutang negara akan menjadi lebih tercelaru. Daripada sudut pemegang saham, ini merupakan satu faktor negatif, kerana pengurusan syarikat-syarikat ini bukan berpandukan pasaran bebas.

Malah, banyak pakar penyelidik ekonomi dan perakaunan telah menyerap angka terbaru hutang negara ini sebagai jumlah yang betul. Cara pengiraan Najib telah diketepikan.

Perbebanan (tanggungan) kontingen sebenarnya merupakan satu konsep, dimana kerajaan pusat ataupun negeri sedia membayar hutang-hutang yang telah diambil oleh pelbagai syarikat kerajaan, atau lebih dikenali sebagai "government linked companies" (GLCs).

445 syarikat naungan kerajaan

Mengikut catatan Professor Edmund Terence Gomez daripada Universiti Malaya, terdapat lebih kurang 445 syarikat di bawah naungan kerajaan pusat di seluruh Malaysia.

Hutang kesemua syarikat-syarikat ini harus direkodkan sebagai tanggungan kontingen (bersyarat). Ini adalah kerana risikonya yang bakal gagal dalam urus perniagaan.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, cara pengiraan terbaru ini memang tepat dan kena pada waktunya. Hutang negara biasanya termasuk surat penjaminan untuk membayar kesemua hutang GLCs.

Malah, Tun Dr Mahathir juga turut mengatakan bahawa Rakyat Malaysia telah memilih kerajaan yang berhemah pada pilihanraya ke-14. Mengapa?


Menurut Tun, sekiranya Pakatan Harapan tidak menang, pembayaran yang ditaja oleh Barisan Nasional akan bertambah RM 300 billion lagi pada hutang negara.

Jumlah ini merangkumi kesemua janji-janji serta manifesto Barisan National yang bakal ditunaikan, biarpun kerajaan pusat di Putrajaya sudah ketandusan wang. Salah satu cara Najib ialah untuk meminjam lagi.

Sebenarnya masalah utama Malaysia ialah kos saraan hidup yang kian meningkat. Kadar inflasi mungkin nampak terkawal pada 5 peratus. Namun dengan mata wang ringgit yang rendah, pengguna-pengguna di Malaysia kerap kali terpaksa membayar lebih sekiranya membeli dari pasaran antarabangsa.

Setakat ini, lebih kurang 13.5 peratus pembelajawan negara bakal di gunakan untuk membayar bunga hutang negara, tidak termasuk dananya lagi. Kalau dibandingkan pada tahun 2009, peratusannya hanya 9 peratus. Ini bermakna, kadar pembayaran hutang telah bertambah sebanyak 4.5 peratus dalam sembilan tahun.

Baik jika hutang negara dikurang

Memang adalah satu perkara yang baik, sekiranya hutang negara Malaysia boleh dikurangkan. Tapi dalam ekonomi sedunia, hutang-hutang negara sedunia telah mencapai AS$ 199 trillion pada tahun 2017.

Malah seluruh dunia sedang beroperasi berlandaskan hutang. Iaitu hutang yang bakal dibayar; biarpun ia bakal dibayar pada satu masa hadapan, bukan sekarang. Kerajaan Malaysia turut sama juga dalam proses ini.

Banyak yang di bawa ke hadapan. Sekiranya kerajaan pusat atau negeri itu utuh dan berintegriti, maka ini tidak menjadi masalah.

Malah, masalah dan implikasi ekonomi akan bermula apabilah tangan kiri tidak sedar apa yang tangan kanan sedang lakukan. Natijahnya, sekiranya kerajaan pusat atau negeri telah hilang hala tuju yang benar, maka prestasinya akan terus merosot, sehingga pelbagai gelagat dan gejala ekonomi akan menular.

Tidak lain, tidak kurang, pengangguran akan terus meningkat, kerana kemahiran individu sudah tidak selari dengan ekonomi nasional dan sedunia.


KIM BENG PHAR ialah sarjana tamu di Waseda University, Tokyo yang sedang menulis buku mengenai komuniti Asia Timur. Beliau juga bekas penyelidik kanan di City University of Hong Kong.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS