Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
41 bom yang dirampas dibuat di M'sia, dakwa Thailand

GLOBAL | Pasukan keselamatan di selatan Thailand diarah memperhebatkan siasatan berhubung rampasan 41 bom buatan sendiri dari sebuah trak pikap di Narathiwat semalam, dengan pegawai polis di wilayah bergolak itu mendakwa peranti peledak yang diubah suai itu dihasilkan di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jeneral Prawit Wongsuwan mahu pihak berkuasa mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dengan bom-bom yang dirampas itu.

"Mereka (pihak berkuasa) perlu cari siapa yang bertanggungjawab membawa bom itu. Mereka perlu menyiasat lagi," katanya kepada media hari ini, sambil memberitahu bahawa pegawai berkenaan juga diminta memburu dan menangkap seorang suspek yang dapat melarikan diri ke hutan berdekatan.

Kenyataannya dibuat ketika pasukan keselamatan Thailand di wilayah selatan meningkatkan lagi pengawasan susulan rampasan bom buatan sendiri itu.

Sementara itu, Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Manas Sikamat dipetik sebagai berkata kepada media tempatan bahawa bom buatan sendiri itu dihasilkan di negara jiran, Malaysia, dengan ia disasarkan kepada para pegawai keselamatan.

Trak dipandu dari Sungai Golok

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya tentang asal-usul bom tersebut, walaupun pegawai Thailand yang tidak dikenali dipetik media tempatan sebagai mendakwa bahawa paip PVC, yang digunakan bagi menghasilkan bom buatan sendiri itu, tidak terdapat di Thailand.

Pegawai yang melakukan pemeriksaan di Kampung Saring, Takbai di Narathiwat pada 11.45 pagi semalam telah menghentikan sebuah trak pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun, yang kemudiannya ditahan.

Trak itu dipandu dari Sungai Golok, berhampiran sempadan Thailand-Malaysia dalam daerah Ranget di Narathiwat.

Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas trak itu, para pegawai menemukan 41 bom buatan sendiri yang disembunyikan di bawah selimut tebal di belakang kenderaan itu bersama-sama dengan peralatan lain termasuk alat penentu masa dan komunikasi, yang disyaki digunakan untuk meletupkan bahan peledak itu.

Menurut pegawai-pegawai bahagian Letupan, Ordinan dan Pelupusan (EOD) yang berada di tempat kejadian, bom buatan sendiri itu boleh digunakan pada bila-bila masa.

Pertubuhan bukan kerajaan, Deep South Watch (DSW), pula menyatakan bahawa konflik selatan Thailand di antara pasukan keselamatan pemerintah dan kumpulan bersenjata telah mengorbankan 7.000 nyawa.

Lihat Komen
ADS