Paling Popular
Terkini

ULASAN | Walaupun ramai yang mengatakan PAS bakal kecundang dan akan kehilangan negeri Serambi Mekah, tiba-tiba arus tsunami hijau membadai negeri-negeri Pantai Timur, sebahagian Kedah dan Pahang pada PRU lalu.

Namun, logik kehadiran tsunami hijau itu umudah difahami. Ia hanya membadai wilayah yang memiliki demografi bersifat homophily (persamaan sifat/ciri).

Sebelum itu ramai penganalisis dan pemerhati politik menjangkakan BN akan dapat mengekalkan kedudukannya sebagai pemerintah dengan majoriti mudah.

Malah sesetengah mereka - terutama penganalisis pro-BN - mendakwa parti itu mungkin mampu mendapat kembali majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat selepas ia hilang sejak PRU pada 2008 lalu.

Asasnya mudah, iaitu berlakunya pertandingan tiga penjuru di kebanyakan kerusi. Keputusan pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016 dijadikan petunjuk bahawa BN akan mendapat laluan mudah disebabkan perpecahan undi pembangkang.

Pertembungan tiga penjuru itu berlaku disebabkan kedegilan PAS untuk kekal sebagai gabungan blok ketiga dengan tidak menyokong BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dinamisme politik tak disedari

Pertandingan tiga penjuru menjadikan Umno/BN memandang mudah cabaran PRU ke-14, malah di sesetengah negeri seperti Terengganu dan Kelantan, mereka melaungkan amaran akan merampas negeri terbabit.

Keadaan lebih selesa bagi BN apabila persempadanan baru kawasan-kawasan pilihan raya diluluskan di parlimen. Ia memecahkan kerusi-kerusi campuran untuk memberi kelebihan kepada BN.

Umum tahu persempadanan baru itu adalah satu kaedah manipulasi (gerrymandering) yang sentiasa memberi kelebihan buat BN setiap kali PRU.

Jika tidak berlaku persempadanan semula dalam tempoh antara lapan hingga 10 tahun pun, belahan lokaliti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga kadang-kadang memberi kelebihan kepada Umno/BN.

Bagaimanapun, politik bersifat dinamik dan boleh berubah sepantas beberapa jam sebelum pengundian.

Kelebihan yang dilihat berpihak kepada BN mula berubah. Selepas hari penamaan calon, HARAPAN mula mendapat momentum baru dengan kempen-kempen politik pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat berkesan sama ada di bandar atau luar bandar.

Isu-isu nasional seperti 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan, kenaikan kos sara hidup dan manifesto HARAPAN yang menyeluruh berjaya menarik sokongan rakyat yang tertekan dengan keadaan kehidupan seharian mereka.

PAS dan gelombang hijau

Selain kejutan HARAPAN yang menguasai kerusi-kerusi di Pantai Barat, PAS pula melakukan kejutan besar apabila mengekalkan negeri Kelantan dengan pertambahan jumlah kerusi, selain menawan Terengganu.

PAS juga memenangi banyak kerusi di Kedah dan Pahang.

Kejayaan luar dugaan ini menunjukkan bahawa pola politik di Pantai Timur dan kawasan-kawasan majoriti Melayu di Kedah serta Pahang menunjukkan isu agama dan kaum masih dominan.

Sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam, PAS dilihat sebagai satu pilihan yang unggul bagi orang Melayu-Islam yang kecewa dengan Umno/BN.

Golongan terbabit melihat hanya PAS mampu membela Melayu/Islam sementara HARAPAN hanya sebuah gabungan politik yang tidak mampu memberi kelebihan kepada mereka.

Ciri-ciri sosialisme yang mendasari perjuangan HARAPAN - iaitu menegakkan keadilan untuk semua rakyat melalui dua parti teras utamanya, iaitu PKR dan DAP - agak dicurigai masyarakat Melayu konservatif yang melatari Kelantan dan Terengganu selain sebahagian kawasan majoriti Melayu di Kedah dan Pahang.

Selain itu, isu yang dibawa PAS dan Umno bahawa mengundi HARAPAN bererti mengundi DAP berjaya mempengaruhi Melayu Pantai Timur, sebahagian Kedah dan Pahang meskipun ramai daripada mereka tinggal di Lembah Klang atau luar dari negeri terbabit.

Pemikiran unik dan berlatarbelakangkan tempatan ini mengekalkan pola pilihan politik mereka seperti orang tempatan di tempat asal masing-masing.

Silap pilih calon, strategi makan diri

BN pula melakukan kesilapan besar. Antaranya dalam penentuan calon. Sifat BN sebagai sebuah parti yang dikuasai "warlord" bahagian dan tiadanya pemilihan pucuk pimpinan dalam Umno yang begitu lama menyebabkan calon-calon yang dipilih tidak menepati kriteria dikehendaki rakyat.

Keadaan berbeza pada PAS apabila mereka berjaya mengetengahkan calon-calon berkelayakan tinggi di negeri-negeri pantai timur tadi.

Di Terengganu misalnya BN menampilkan enam calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia, seorang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, seorang lulusan sekolah rendah dan tiga lagi menggunakan kelulusan yang dipertikaikan.

Ramai jaguh Umno tidak diberi peluang bertanding kali ini dan ia mencetuskan bantahan serta cah keting (sabotaj).

Faktor pengundi luar (majoritinya orang muda) marah dengan tindakan SPR mengadakan pengundian pada hari Rabu.

Strategi itu memakan diri kerana orang muda yang marah kepada SPR bertekad untuk pulang beramai-ramai untuk mengundi, dan janji HARAPAN untuk memberikan cuti pada hari selepasnya (Khamis dan Jumaat) mendorong mereka menghukum BN.

Kajian saya pada 2015 mendapati 75 peratus pemilih luar mengundi PAS dalam PRU ke-13.

Tindakan SPR itu benar-benar "menyaring" pandanan saya apabila dianggarkkan 95 peratus pengundi luar yang pulang mengundi ini adalah anti-BN.

Kumpulan pengundi luar yang biasanya mengundi Umno sebaliknya tidak pulang kerana enggan mengambil risiko serta terpaksa pula bekerja pada 10 Mei.

Golongan terbabit hanya akan pulang jika mereka dibiayai khususnya oleh BN, namun tiada usaha membawa mereka pulang oleh jentera Umno/BN gara-gara begitu yakinan mereka (Umno) telah menguasai pengundi luar bandar.

Masa depan AMANAH 

Parti Amanah Negara (AMANAH) ialah sebuah parti politik Islam yang sangat baru dalam dunia politik di Malaysia.

Kerangka, cita-cita dan hala tuju AMANAH - walaupun nampak lebih maju dan terbuka berbanding PAS - tetap belum mampu memecahkan doktrin politik Islam dibawa PAS.

Sejak sekian lama, orang Melayu Kelantan dan Terengganu hanya mengenali dua bentuk doktrin politik:

  1. Doktrin politik Islam yg diterajui PAS
  2. Doktrin politik nasionalisme Melayu-Islam yang diterajui Umno

Kedua-dua parti ini (Umno dan PAS) menjadi pesaing tradisi di kedua-dua negeri tersebut sejak merdeka. Parti-parti serpihan lain seperti Hamim, Berjasa dan Semangat 46 telah lama terkubur kerana tidak dapat menyaingi Umno serta PAS.

Walaupun saya menilai AMANAH tidak sama seperti parti-parti serpihan lain, namun penerimaan masyarakat Melayu Kelantan dan Terengganu kepada mereka masih di tahap minimum.

AMANAH memerlukan masa lebih lama untuk bertapak di kedua-dua negeri tersebut. Itu pun dengan syarat, AMANAH mesti bekerja lebih keras pada masa akan datang untuk mengembangkan pengaruh melalui penubuhan cawangan-cawangan yang lebih banyak serta merekrut keahlian baru.

Ketika ini AMANAH dilihat hanya sebuah parti yang berpotensi di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar.

Generasi muda dan orang berpendidikan adalah pasaran berpotensi bagi AMANAH. Saya menjangkakan kedudukan parti itu dan HARAPAN akan lebih diterima pada masa akan datang.

Di Parlimen Kota Bharu, walaupun Husam Musa tewas, undi yang diperolehinya agak menyakinkan.

Itu menunjukkan ketokohan calon dan isu-isu yg dibawa oleh AMANAH tetap diterima ramai pengundi di Kelantan.

Di Terengganu pula, AMANAH masih terhad disebabkan pengaruh Abdul Hadi Awang yang masih kuat, di samping sentimen sejarah takfiri yang berleluasa di negeri itu beberapa dekad lalu.

Faktor itu menyebabkan masyarakat agak takut untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada AMANAH.

PAS dilihat lebih bersih berbanding BN, dan pembawaan agamanya sesuai dengan naluri kepartian orang Pantai Timur dan majoriti Melayu konservatif.

Modal untuk PAS

Walaupun Dr Mahathir menjadi faktor mencetuskan gelombang rakyat dan menarik Melayu luar bandar - khususnya di Pantai Barat dan selatan semenanjung - keadaan berbeza di Pantai Timur.

Umno dan PAS pula berjaya mencipta gambaran imbau belakang mengenai rekod lampau Dr Mahathir seperti isu-isu kronisme, penyelewengan, diktatorisme, Memali dan Islam liberal.

Isu-isu itu ditayang seperti sebuah filem di mata orang Pantai Timur.

Komen-komen Dr Mahathir tentang Islam pada masa lalu serta sepanjang kempen PRU ke-14 juga digunakan PAS serta Umno untuk menunjukkan bahawa tokoh itu tidak mesra Islam, liberal dan terlalu mengikut telunjuk DAP.

Imej-imej itu digunakan dengan berkesan untuk mempengaruhi pengundi bagi menolak HARAPAN.

Penutup

Hakikatnya, PRU ke-14 memaparkan dua bentuk tsunami. Satu di pantai barat disebut "tsunami merah" dan satu lagi di pantai timur dikenali sebaai "tsunami hijau".

Kedua-dua tsunami itu membadai sama keras tetapi tetap berbeza dari segi lingkungan demografi.

Dan menariknya, dua jalur tsunami tersebut - walaupun berbeza - ia memilih mangsa yang sama, iaitu Umno.

Dengan luka dan patah riuk dialami BN, bermakna bukan mudah untuk mereka pulih seperti sedia kala dalam tempoh yang singkat.

Dengan jalur merah dan hijau yang bergerak searah namun membawa corak dan tujuan yang berbeza, sebagai penganalisis saya berminat untuk memeriksa lebih lanjut: mengapa wujudnya pola sebegini pada PRU lalu?


DR MAZLAN ALI ialah pensyarah dan penganalisis politik yang bertugas di Universiti Teknologi Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS