Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSATU: Utamakan Bahasa Melayu
Diterbitkan:  Jun 25, 2018 2:08 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Abdul Rahman mahu semua pihak berbalik kepada undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen berhubung penggunaan bahasa Melayu sebagai medium untuk kenyataan rasmi kerajaan.

Memetik Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan yang menyebut bahawa “Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi” katanya, keutamaan juga perlu ditekankan kepada penggunaan bahasa kebangsaan untuk hebahan media buat kali pertama.

“Ini bermakna, ia telah pun dipersetujui bahawa Bahasa Malaysia perlu digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan-kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.

“Ia juga selari dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan.

“Saya juga percaya keperluan untuk menyelaras penggunaan bahasa bebangsaan dalam semua urusan rasmi kerajaan ini penting untuk memastikan tidak ada kekeliruan daripada pihak awam berkenaan apa-apa perkara yang diterbitkan oleh pihak Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pemuda BERSATU itu menggulas keputusan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Facebook yang dikeluarkannya malam semalam untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu dikeluarkan hanya dalam bahasa Cina.

Mengulas lanjut Syed Saddiq yang juga adalah ahli parlimen Muar berkata, kenyataan di dalam bahasa kebangsaan seharusnya dijadikan satu-satunya sumber rasmi oleh mana-mana pihak.

“Kenyataan rasmi Kerajaan Malaysia juga akan diterjemah kepada Bahasa Inggeris sebagai sumber rujukan media asing dan boleh diterjemah kepada bahasa ketiga jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya percaya tidak ada sebarang masalah untuk menterjemah mana-mana kenyataan rasmi Kerajaan Malaysia. Namun, keutamaan perlu ditekankan kepada penggunaan Bahasa Kebangsaan untuk hebahan media buat kali pertama.

“Kekeliruan dan salah faham dari orang ramai dapat dielakkan dengan prosedur sebegini,”m katanya.

Lihat Komen
ADS