Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Ada orang kata, kerajaan Najib Razak jatuh hanya dengan lawak sindir menyindir. Lebih-lebih lagi gosip tentang isterinya. Gosip itu cukup membuatkan Mak Jah, kawan arwah nenek saya, meluat dan buat keputusan untuk tidak mengundi BN pada PRU lalu.

Mak Jah pun mengundi selain BN, dan perubahan tampuk kuasa berlaku dengan aman damai.

Ini jadi benda paling aneh dalam hidup saya sebab perubahan kerajaan secara aman sudah menjadi semacam dongeng di negara dunia ketiga.

Peralihan aman sebegini barangkali tak pernah singgah dalam imaginasi kita, lebih-lebih lagi sejarah perubahan kerajaan tetangga seperti Indonesia, Filipina dan Thailand tidak pernah sesopan itu.

Di Malaysia, tiada kediaman bekas pemimpin Umno dikepung, tiada rumah ketua bahagian dicucuh api, tiada jalan disekat kerana demonstrasi, tiada perintah berkurung.

Pada malam pengumuman keputusan PRU bersejarah itu, saya dan rakan-rakan melepak di McDonald's Ipoh sampai jam 5 pagi.

Ia detik yang mungkin tidak pernah terjangkau oleh imaginasi kita yang selama ini percaya perubahan hanya boleh berlaku melalui revolusi ala Iran atau Arab Spring. Inilah ‘aqidah’ saya selama ini – hanya melalui anarkisme, kerajaan boleh diruntuhkan. Kepercayaan itu akhirnya terbukti karut.

Tak berlebihan jika saya mengajak pemimpin Umno di peringkat cawangan, bahagian mahupun tertinggi yang terpalit rasuah agar berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bukan jenis balas dendam. Kalian hanya perlu menunggu SPRM untuk menjemput anda di rumah.

Sikap cool rakyat Malaysia menanggapi politik terlihat jelas selepas pengalaman berharga pascademonstrasi Reformasi 1998. Demonstran kita nampaknya lebih senang lepak bercendol atau mengeteh selepas tamat ‘waktu rasmi’ himpunan.

Dengan kata lain, kita tidak disambar kesan domino Arab Spring yang tercetus pada 2010.

Bara api Bukit Damansara

Kita kembalikan ingatan pada 20 tahun lalu. Percikan api reformasi dari Bukit Damansara yang merebak ke jalan-jalan ibu kota ekoran pemecatan Anwar Ibrahim sedikit sebanyak memberi tanggapan negatif; perubahan kerajaan hanya boleh berlaku dengan revolusi dan kekacauan; apatah lagi Indonesia telah membuktikan hal itu.

Di Indonesia, reformasi 1998 berlaku dengan kehilangan nyawa, gudang-gudang milik taukeh Cina dibakar, anak gadis dirogol. Segalanya dilakukan atas nama slogan menumbangkan Orde Baru Suharto.

Oleh kerana orang Malaysia tidak mahu ia berlaku - mungkin serik dengan tragedi hitam 1969, - gelombang reformasi yang dipimpin Anwar gagal 'merampas’ kerajaan yang dikuasai Dr Mahathir Mohamad ketika itu, meskipun melalui pilihan raya setahun kemudian.

Tahun 1998 menyaksikan ramai aktivis reformasi dan pimpinan politik dilokap, ada yang dibelasah secara zalim. Kebencian terhadap regim Mahathir ketika itu meluap-luar, air mata rakyat tertumpah setiap kali Wan Azizah naik ke pentas ceramah menceritakan nasib yang menimpa suaminya.

Bagaimanapun PRU 1999 menyaksikan pencapaian Barisan Alternatif tidak terlalu memberangsangkan.

Barisan Alternatif hanya berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu. Ramai calon Barisan Alternatif termasuk pimpinan utama DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kubu kuat mereka.

Lebih menyedihkan, 'pembaharuan' yang dilaksanakan di Terengganu pimpinan Haji Abdul Hadi Awang ketika itu ialah cubaan mengusir kanak-kanak tadika Kemas, meruntuhkan mercu tanda replika penyu dan meluluskan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) setelah dibahas dua hari secara terburu-buru.

Bercendol selepas demo

Dinamik politik dunia berubah, 2010 menyaksikan Arab Spring melanda negara-negara Arab bermula dari Tunisia. Akhirnya Mesir, Jordan, Algeria, Yaman, Sudan, Bahrain dan banyak negara Arab lain mengalami proses pendemokrasian. Semangat perubahan itu secara langsung turut memberi berahi kepada Pakatan Rakyat meneruskan usaha merampas Putrajaya setelah menang lima negeri pada PRU 2008.

Meskipun keadaan itu begitu mengujakan khususnya menjelang PRU, Pakatan Rakyat masih gagal membentuk kerajaan. Malah selepas itu kita menyaksikan perpecahannya apabila PAS membawa haluan sendiri setelah pemergian Tuan Guru Nik Aziz pada 2015.

Apa yang pasti, kejijikan rakyat terhadap pentadbiran Najib yang terpalit skandal 1MDB, penggunaan satu logo dan solidariti kepada Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri menjadi faktor utama gelombang perubahan rakyat yang menyebabkan tumbangnya BN.

Najib dan pasukannya umpama hilang punca apabila Dr Mahathir mengisytihar untuk keluar Umno dan seterusnya menjalin kerjasama dengan pembangkang iaitu DAP, PKR, AMANAH dan WARISAN pimpinan Shafie Apdal.

Faktor Mahathir ini telah mengubah politik feudal masyarakat Melayu – Bumiputera khususnya di kawasan luar bandar yang akhirnya menamatkan kekuasaan Umno. Siapa sangka Johor sebagai kubu kuat Umno boleh jatuh ke tangan Pakatan Harapan?

Kekuasaan BN selama 60 kini sudah jadi sejarah. Kemenangan Pakatan Harapan harus diisi, janji-janji manifesto perlu dikotakan, dan Malaysia Baru perlu keluar daripada dogma lapuk sentimen perkauman dan agama yang menjadi punca perpecahan.

Rakyat sentiasa memerhatikan perkembangan Malaysia Baru dengan teliti. Paling penting, perubahan ini perlu memacu semula pertumbuhan ekonomi supaya poket kita lebih penuh, bukan sibuk memikirkan siapa yang bakal menggantikan Dr Mahathir.


HAFIZ ZAINUDDIN ialah pembaca Malaysiakini, juga penulis buku Lesong yang suka berenang dan makan-makan. Pernah menjadi pembantu Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan kini wartawan Roketkini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS