Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah terhadap tuduhan menipu dan bersubahat melakukan pecah amanah wang berjumlah RM9 juta tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman lima tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Abdul Aziz menjalani hukuman itu serentak mulai hari ini.

Bagaimanapun beliau membenarkan permohonan Abdul Aziz untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM100,000 dengan seorang penjamin kepada RM200,000 dengan dua penjamin. Abdul Aziz kemudian membayar wang jaminan itu.

Menurut laporan Bernama, Abdul Aziz, 61, yang memakai kot hitam dan ditemani dua anaknya, tiba di mahkamah pada jam 2 petang. Ketika hukuman dijatuhkan, dia kelihatan tenang.

Terdahulu Mohd Zaki berkata, beliau menjatuhkan hukuman itu sebagai satu pengajaran kerana kesalahan serupa sering dilakukan ketika ini.

Abdul Aziz didakwa bersubahat dengan bekas pengurus besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Alwi Said, 57, melakukan pecah amanah dana lembaga itu sebanyak RM2 juta.

Penjara minimum

Abdul Aziz, yang kini ahli perniagaan, dituduh melakukan kesalahan itu bersama-sama seorang jutawan Ooi Kee Siang, yang masih bebas, di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan sini antara 27 April dan 31 Julai 1999.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Abdul Aziz juga dituduh menipu Datuk Mustapa Mohamed, ketika itu Menteri Kewangan Kedua, supaya mempercayai bahawa cadangan pelaburan Ketengah dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, Terengganu berdaya maju.

Penipuan itu didakwa dilakukannya melalui surat-surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah sebanyak RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd, dengan menyembunyikan beberapa fakta.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Aziz telah dengan curangnya mendorong Mustapa memberikan persetujuan kepada permohonan tersebut di Kementerian Kewangan, Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan, Jalan Duta di sini antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda.

Sebagai pengajaran

Hakim Mohd Zaki berkata, usaha mencegah jenayah seperti itu tidak akan berjaya sekiranya hukuman yang dijatuhi tidak mencerminkan sesuatu yang berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan yang lain.

"Kesalahan ini melibatkan wang orang awam kerana Ketengah merupakan satu institusi awam dan kehilangan RM2 juta adalah kehilangan wang rakyat yang besar.

"Ketengah tidak betul-betul mendapat faedah daripada projek ini dan wang itu tidak menghasilkan apa-apa kepada Ketengah kerana akhirnya projek itu gagal," katanya.

Beliau berkata rayuan daripada peguam Mohd Firuzz Jaffril yang mewakili Abdul Aziz juga dipertimbangkan memandangkan tertuduh menghidap penyakit kanser prostat yang memerlukan rawatan susulan dan dia juga pernah berjasa kepada rakyat ketika berkhidmat dengan kementerian itu.

"Faktor-faktor mitigasi bahawa kesalahan ini pertama kali dilakukan, umur tertuduh dan latar belakangnya tidak bolehkan saya ketepikan begitu sahaja. Walau bagaimanapun faktor mitigasi ini tidak membolehkan saya mempertimbangkan hukuman yang lain daripada hukuman penjara kerana ia adalah mandatori," kata hakim.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan telah memanggil 34 saksi Mustapa untuk memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan tiga saksi.