Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan batal program 'lupus kereta lama dapat bayaran'

Satu kajian kerajaan untuk program 'bayaran tunai untuk lupus kereta lama' mungkin akan ditangguhkan berikutan bantahan awam, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Ini ekoran laporan media pada 13 Jun lalu yang memetik beliau berkata kementerian masih mengkaji sistem rebat tunai yang akan mengurangkan bilangan kereta lama di jalan raya.

Loke berkata kenyataannya disalah faham dan beliau tidak bermaksud sistem itu akan dilaksanakan, yang mengakibatkan kritikan terhadapnya di platform media sosial.

Antaranya, beliau dituduh sebagai tidak bertimbang rasa terhadap orang yang membayar ansuran pinjaman selama sembilan tahun bagi kereta mereka dan kemudiannya terpaksa melupuskan kereta mereka pada tahun kesepuluh.

"Itu bukan maksud saya. Saya tak pernah kata kita nak laksanakan, saya hanya kata kita akan kaji. Tetapi memandangkan terdapat banyak suara-suara yang tidak bersetuju dengan program ini, tadi dalam mesyuarat post-cabinet bersama kementerian pengangkutan, saya telah mengarahkan supaya program ini, kajian ini, to be postponed indefinitely.

Tak perlu buang masa

"Maksudnya kita tak perlu lagi mengkaji kemungkinan program ini. Nampaknya kita belum bersedia dan memang saya rasa perlaksanaannya sukar dilaksanakan pada ketika ini.

"Kita tak perlu membuang masa mengkaji perlaksanaan program ini, so this program is off," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dalam hal berasingan, Loke berkata kementerian sedang mempertimbangkan cara untuk membatalkan pendaftaran kenderaan yang tidak lagi digunakan atau telah ditinggalkan oleh pemiliknya di tempat awam.

Ini bagi menangani isu kenderaan lama yang ditinggalkan di tempat-tempat seperti kawasan kediaman.

Loke berkata pada masa ini tidak ada sistem untuk membatalkan pendaftaran kenderaan. Sekiranya dilaksanakan, beliau berkata kenderaan terbengkalai boleh dibatalkan pendaftaran dan kerajaan tempatan boleh terus melupuskan kenderaan berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS