Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabah akan hidupkan semula sistem perniagaan barter
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 5:44 AM
Dikemaskini: 10:13 PM

Kerajaan negeri akan menghidupkan semula sistem perniagaan tukar barang (barter trade) antara negeri ini dan negara-negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang dihentikan oleh kerajaan sebelum ini atas faktor keselamatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata sistem perniagaan itu akan diperkemaskan dengan memperkenalkan peraturan tertentu untuk memastikan ia berfungsi seperti dikehendaki tanpa melanggar undang-undang negara ini.

“Kita ada bincang perkara berkaitan barter trade di peringkat negeri Sabah, Filipina dan Indonesia. Saya telah meminta supaya perkara ini dibincangkan di peringkat Kabinet agar kita dapat menghidupkan semula sistem ini.

“Bagaimanapun, perlu ada sistem yang perlu kita perkenalkan. Sistem yang perlu kita sediakan ialah lokasi pendaratan (pedagang barter trade). Ada beberapa pusat pendaratan iaitu di Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet peringkat negeri di Kota Kinabalu semalam.

Katanya peraturan lain yang perlu dipatuhi pihak yang terlibat ialah mereka tidak boleh menjual barangan bersubsidi dari negara ini untuk dijual kepada rakan niaga mereka dari negara jiran seperti beras.

Mohd Shafie berkata keputusan itu dibuat disebabkan terdapat banyak permintaan daripada pihak yang pernah terlibat dalam sistem perniagaan tersebut susulan perniagaan mereka terjejas selepas sistem itu dihentikan.

Katanya agensi yang berkenaan telah diarah untuk menyediakan laporan dan cadangan mengenai kaedah pelaksanaan sistem itu yang dijangka pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang.

Sementara itu, katanya jawatankuasa khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman diberi tempoh dua minggu untuk menyediakan kertas cadangan mengenai pelaksanaan cadangan pemberian dokumen khas kepada pekerja asing sektor perladangan di Sabah.

Kelmarin, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri akan mengkaji untuk mengeluarkan dokumen khas kepada pekerja asing tidak sah di Sabah untuk menyelesaikan isu kekurangan buruh, terutama dalam sektor perladangan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS