Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Menjelang majlis angkat sumpah jawatan menteri kabinet, ternyata keresahan para penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) di Kelantan semakin memuncak, apabila senarai menteri dan timbalan menteri kabinet yang tular beberapa hari lalu menyaksikan tiada langsung seorang wakil dari negeri Kelantan yang tersenarai.

Walaupun HARAPAN gagal mendapat sebarang kerusi parlimen di negeri Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, ia masih tidak menafikan bahawa wujud keperluan untuk rakyat Kelantan memiliki sekurang-kurangnya seorang wakil dari HARAPAN Kelantan ke dalam jemaah kabinet kerajaan Malaysia.

Apatah lagi, Kelantan masih lagi sebuah negeri yang memerlukan perhatian khusus dari Persekutuan dalam usaha untuk membina dan menjana aspek ekonomi dan pembangunan dalam negeri agar tidak terus ketinggalan dalam arus semasa.

Masalah kesesakan jalan raya yang melampau setiap kali tiba musim perayaan mahupun musim cuti sekolah, diburukkan lagi dengan masalah bekalan air yang semakin kritikal, termasuk gangguan perkhidmatan asas seperti gangguan bekalan elektrik di musim kemuncak, selain dari pelbagai masalah dan kegagalan perancangan dan pembangunan serta pemacuan ekonomi, tambah memburukkan keadaan dan menambah derita rakyat Kelantan, membuktikan bahawa inilah kegagalan pentadbiran kerajaan PAS Kelantan walau terus diberi mandat oleh rakyat Kelantan dalam pilihan raya yang lalu.

Masalah yang dihadapi oleh rakyat Kelantan sejak sekian lama ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh pimpinan kerajaan HARAPAN di peringkat persekutuan, bahkan keutamaan untuk memulihkan kembali aspek pembangunan dan ekonomi serta pengolahan sumber manusia dan sumber alam harus dititikberatkan oleh kerajaan persekutuan.

Maka, di sinilah peri penting wujudnya sekurang-kurangnya seorang wakil dari Kelantan yang akan membawa aspirasi dan menyuarakan segala keperluan dan permasalahan di negeri Kelantan ke dalam pengetahuan, perbincangan dan tindakan dalam jemaah menteri kabinet Malaysia.

Suara-suara nakal

Gesaan dan kerisauan yang sama bukan sahaja disuarakan oleh para penyokong HARAPAN di Kelantan, bahkan turut diutarakan oleh pimpinan BN Kelantan yang juga mengharapkan agar Kelantan tidak ditinggalkan oleh kerajaan persekutuan.

Dalam satu kenyataan media, Datuk Mustapa Mohamed, bekas menteri kabinet di era pemerintahan BN yang lalu juga telah menyuarakan kebimbangan yang sama. Ini kerana beliau menyedari peri pentingnya untuk ada seorang wakil dari Kelantan ke dalam jemaah kabinet di peringkat persekutuan sebagai penghubung di antara negeri dan pusat.

Adalah dibimbangi wujud suara-suara nakal yang akan mengatakan bahawa HARAPAN yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat seolah-olah menerima pakai pujukan jahat daripada pihak pembangkang yang tidak ingin melihat Kelantan turut memiliki seorang wakil dalam kabinet.

Adakah HARAPAN tergamak membiarkan Kelantan terus dirudung masalah pembangunan dan urustadbir yang tidak kunjung selesai, sedangkan HARAPAN boleh sahaja melantik seorang wakil dalam barisan Kabinetnya yang akan bersuara secara jelas dan nyata bagi rakyat Kelantan.

Usahlah terus mendera rakyat Kelantan yang sejak sekian lama dianak tirikan oleh kerajaan persekutuan yang berlarutan dari zaman BN lagi, istilah Malaysia Baru seharusnya diberi penghayatan bukan sahaja kepada rakyat di negeri yang kita menangi, bahkan kepada rakyat di negeri yang kita masih belum dapat tawan hati budi serta undinya.

Apatah lagi aspirasi pengerusi HARAPAN Kelantan yang ingin sekali menyelesaikan sekurang-sekurangnya masalah lebuh raya bagi merancakkan lagi pembangunan dan pemacuan ekonomi, selain dari meringankan beban kesesakan jalan yang kini menghantui seluruh pengguna jalan raya di negeri ini.

Tambahan pula, tawaran HARAPAN dalam PRU ke-14 yang lalu untuk mendaratkan hasil petroleum dan gas di pantai Bachok, sekali gus mampu mencipta ribuan peluang pekerjaan dan membina kluster ekonomi yang lebih mapan untuk Kelantan, amat menarik perhatian sebilangan besar rakyat, yang telah diterjemahkan dalam PRU ke-14 yang lalu.

Semoga sinar harapan terus menyinari kegelapan yang kini menyelubungi negeri Kelantan dan perhubungan antara pusat serta negeri terus diperkukuhkan dengan adanya perlantikan wakil dari Kelantan ke dalam kabinet di Malaysia ini.


Muhammad Ariff Bashiruddin Muhammad Rusli merupakan pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Kelantan.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS