Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mengapa Dr Khir pilih Ku Li jadi presiden Umno?

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memilih Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pilihannya untuk jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Beliau berkata Tengku Razaleigh tidak mempunyai sebarang ‘masalah besar’ seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin yang adalah anggota kabinet di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menyatakan keyakinan bahawa Zahid dan Khairy mampu membawa Umno menjadi pembangkang yang berkesan, Dr Khir berpendapat pemimpin Pakatan Harapan tidak akan melayan mereka.

“Mereka (kerajaan) tidak akan melayan idea dari pemimpin yang diri mereka juga terpalit. Mereka akan mendakwa bahawa masalah (yang dihadapi oleh negara ini) kerana kamu. Jadi kamu diam.

“Apapun pandangan daripada pembangkang akan diterima kecuali orang yang tidak ada dalam kerajaan lepas,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Mengambil dirinya sebagai contoh, Dr Khir mendakwa semua cadangan yang dibangkitkannya sebagai pembangkang di Selangor telah diabaikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mengambil kuasa pada tahun 2008.

“Saya pernah melalui proses ini sebelum ini, ketika saya menjadi pembangkang di Selangor, apabila saya cakap benda yang baik (pendapat), mereka hanya berkata, kamu menyebabkan kejatuhan BN di Selangor, pendapat saya ditolak,” katanya.

Dr Khir juga berkata Zahid selaku pemangku presiden Umno, tidak mampu memainkan peranan sebagai seorang pemimpin pembangkang.

“Saya tengok Tengku Razaleigh ada kelebihan dekat situ. Dia pernah dalam kabinet di masa kegemilangan Umno, Umno cukup baik dan negara cukup dihormati masa itu.

“(Bila) dia di luar kabinet, lihat negara yang semakin kurang dihormati dan (menyaksikan) kekalahan Umno. Jadi pengalaman tak ada pada dua calon (Khairy dan Zahid),” katanya.

Dr Khir turut menegaskan bahawa ketika Khairy menjadi ketua pemuda, beliau gagal mengangkat pemimpin sayap pemuda ke peringkat tertinggi.

"Pemuda Umno lemah, Khairy mahu menjadi satu-satunya pemimpin dan dia tidak mahu melihat sesiapa menjadi pemimpin, itu masalah dia.

"Kalau saya di tempat Khairy, saya akan menguatkan sayap itu, bawa ke peringkat seterusnya. Dia (Khairy) patut perbaiki sayap pemuda, jadikan lebih kuat dan barulah bertanding jawatan presiden. Saya akan sokong dia (jika buat begitu),” katanya.

Dr Khir dilantik sebagai menteri besar Selangor oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2000 pada usia 34 tahun.

Pada 2008, BN Selangor, yang diketuai oleh Dr Khir buat kali kedua, memperoleh hanya 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau melepaskan jawatannya sebagai ketua pembangkang negeri, pengerusi BN negeri dan ketua Umno negeri dua tahun kemudian selepas berdepan tuduhan rasuah mengenai pembelian rumah.

Mahkamah kemudiannya mendapati Dr Khir bersalah dan memerintahkannya dihukum penjara selama satu tahun.

Pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lalu, BN tumbang dengan Umno hanya memenangi 54 kerusi dan berkuasa di dua negeri.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Parti Melayu tertua itu dijadual memilih kepimpinan baru pada Sabtu ini. Seramai 165,000 perwakilan akan mengundi di 191 bahagian di seluruh negara.

Mengenai jawatan timbalan presiden, Dr Khir berpendapat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan layak menduduki jawatan itu berdasarkan kepakarannya dalam bidang keusahawanannya.

“Kita memerlukan Mat Hasan bukan sahaja untuk membantu Umno tetapi untuk menguruskan aset Umno, saya fikir Umno memerlukan kepakarannya, Umno mempunyai begitu banyak aset, dia boleh menjana pendapatan dan meraih sokongan (rakyat) kembali,” katanya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS