Paling Popular
Terkini

KATA MP | Bekas perdana menteri Najib Razak telah terkhilaf.

Penerimaan hadiah dalam kapasiti selaku seorang pimpinan utama negara bukan sahaja salah dari sisi undang-undang, tetapi juga melanggar amanah yang diberikan rakyat.

Najib dalam temuramah dengan Malaysiakini menyatakan bahawa "selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami dihadiahkan dengan pelbagai barangan oleh pemimpin antarabangsa serta rakan-rakan peribadi”.

Biarlah kita mengingatkan Najib bahawa menurut Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, maksud "suapan" merangkumi "wang, derma, pinjaman, hadiah dan harta".

Bagaimanakah Najib dan isteri beliau, Rosmah Mansor, mampu menerima dan mengumpul "hadiah" yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut dan mungkin boleh mencecah nilai RM1.1 bilion seperti diumumkan polis semalam, sekiranya bukan kerana kedudukannya selaku pimpinan utama negara untuk 36 tahun, dari seorang menteri besar dari tahun 1982 sehingga berhenti menjawat jawatan perdana menteri pada tahun 2018?

Sekiranya kita membahagikan nilai minimum sebanyak RM686 juta tersebut dengan tahun perkhidmatan Najib, secara puratanya setiap tahun Najib akan menerima "hadiah " bernilai RM19 juta atau bersamaan dengan RM1.6 juta koleksi setiap bulan!

Najib Razak cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menyatakan bahawa beliau menyimpan barang-barang kemas yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut untuk tujuan pameran peribadi suatu hari nanti.

Kenyataan sebegini langsung tidak masuk akal.

Dengan segala percubaan kerajaan BN sebelum ini yang diketuai oleh Najib sendiri untuk menutup dan melumpuhkan siasatan skandal 1MDB, jelas sekiranya penukaran kerajaan tidak berlaku pada 9 Mei lepas, "pameran" tersebut akan kekal sebagai "koleksi peribadi dan tidak akan didedahkan kepada rakyat Malaysia.

Pengakuan penerimaan "hadiah" ini sudah cukup untuk beliau diheret ke muka pengadilan untuk dibicarakan.


WONG KAH WOH ialah ketua Pemuda DAP merangkap anggota parlimen Ipoh Timor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS