Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat sebuah syarikat kontraktor landskap yang terlibat dalam projek di kediaman rasmi perdana menteri, timbalan perdana menteri serta premis-premis kerajaan di sekitar Putrajaya.
Menurut sumber SPRM, kontraktor berkenaan didakwa membuat tuntutan palsu terhadap beberapa projek landskap yang dibuat antara 2016 dan 2017 dengan jumlah bernilai lebih RM80 juta.
Jelas sumber, tuntutan bayaran penuh ke atas projek itu dikatakan dibuat meskipun projek tidak sempurna.
"Malah maklumat juga mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai kapasiti kerana tidak memiliki tapak untuk menanam bunga bagi landskap tersebut,” katanya.
Sumber turut mendedahkan bahawa SPRM telah pun merampas beberapa dokumen berkaitan di pejabat syarikat itu semalam.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan mengenai siasatan tersebut namun enggan mengulas lanjut.
