Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri pertahanan: Kerajaan akan kaji semula PLKN
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 5:53 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Kementerian Pertahanan mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula keseluruhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata hari ini kementeriannya mensasarkan untuk menyemak kurikulum PLKN bagi memfokuskan kepada golongan belia.

Mohamad Sabu, dikenali sebagai Mat Sabu dipetik Channel News Asia berkata kajian semula PLKN akan dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet.

"Mungkin kami akan mengubah kurikulum ... kami mahu anak muda menyertainya, kami mahu penyertaan semua kaum.

"Ini sangat penting kerana kami mahukan generasi muda terlibat secara nasional, (supaya) mereka sayang negara ini, mereka perlu mempunyai tingkah laku sivik yang sangat tinggi, jadi mungkin kami boleh memperkenalkannya melalui program khidmat," katanya.

Tumpuan pada demokrasi

Beliau dilaporkan berkata kurikulum baru PLKN akan memberi tumpuan terhadap demokrasi dan kurang latihan ketenteraan.

"Jika sistem itu tidak baik, mereka (rekrut PLKN) mesti memiliki kemampuan untuk mengubah melalui cara demokrasi."

Sementara itu, menurut Free Malaysia Today, Mat Sabu berkata kerajaan berharap lebih ramai penyertaan orang Cina, India serta pribumi Sabah dan Sarawak kerana beliau mengakui program ini kebanyakannya cuma melibatkan orang Melayu saja.

Beliau juga menjelaskan kementeriannya akan melihat ke Jepun untuk mendapatkan idea-idea bagi menanamkan disiplin dan semangat patriotisme warganegara.

Bermula pada 2003, program khidmat negara pada mulanya diwajibkan untuk remaja berusia 18 tahun dalam kelompok yang dipilih secara rawak.

Bagaimanapun, ia mencetuskan beberapa kontroversi termasuk kaedah latihan serta kematian beberapa rekrut program.

Ia telah diubah menjadi program sukarelawan pada tahun 2017 di bawah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 2.0) yang telah diubahsuai

Lihat Komen
ADS