Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berhasrat untuk memberikan Cyberjaya status penuh Koridor Raya Multimedia (MSC).

Beliau berharap pemberian status MSC itu akan membawa lebih ramai pelabur asing ke dalam negara.

"Kami mahu menggalakkan pertumbuhan (Cyberjaya), kami jangka ramai pelabur asing akan datang.

"... Kami jangka lebih banyak syarikat akan datang dan membuka kilang serta pusat kajiannya di sini.

"Dan sudah tentu, ia akan sekali lagi bergerak seiringan dengan MSC," katanya mengulas soalan hadirin mengenai masa depan MSC.

Dari hab teknologi jadi perumahan biasa

Mahathir berkata Cyberjaya sejak beberapa tahun lalu telah menjadi kawasan perumahan biasa berbanding menjadi hab teknologi.

Perdana Menteri juga berjanji untuk melabur dalam infrastruktur yang diperlukan oleh syarikat yang terletak di zon ekonomi khas.

"Kami akan meletakkan infrastruktur sebanyak mungkin untuk menarik orang ramai ke Cyberjaya khususnya dan juga ke koridor (secara keseluruhan)," katanya.

Dilancarkan pada tahun 1996 oleh Mahathir semasa tempoh pertamanya sebagai perdana menteri, Koridor Raya Multimedia bermula dari Menara Berkembar Petronas KLCC menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, melalui termasuk Cyberjaya dan Putrajaya.

Kerakyatan untuk pakar asing terpilih

Perdana menteri juga berkata akan menawarkan kerakyatan kepada pakar-pakar asing terpilih dalam bidang yang dilihat penting kepada negara.

Ini selaras dengan usaha kerajaan menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) dan melatih tenaga kerja tempatan dengan kemahiran dalam sektor teknologi tinggi.

"Saya fikir kita memerlukan input mengenai teknologi dari negara-negara asing. Kami akan membuat cara untuk menggalakkan orang yang mempunyai kemahiran untuk datang dan tinggal di sini dan malah kami akan memberi mereka kewarganegaraan.

"Sebelum ini, dasar (kerajaan) adalah tidak memberikan kewarganegaraan kepada orang asing, tetapi sekarang jika orang asing itu datang dengan kepakaran tertentu yang kami mahu, maka kami akan menjemput mereka untuk tinggal di negara ini dan jika mereka mahu, mereka boleh menjadi warga negara.

"Kami ingin mempunyai lebih ramai orang bijak-pandai untuk datang dan tinggal di Malaysia serta menyumbang kepada program perindustrian," katanya semasa sesi soal jawab pada majlis makan tengah hari American Chamber of Commerce di Kuala Lumpur hari ini.

Antara 240 hadirin ialah eksekutif daripada Deloitte, West Digital, JP Morgan, AmMet Life dan Citibank.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS