Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sri Ram ingatkan HARAPAN Akta MKN perlu dimansuh

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 perlu dimansuhkan.

Ini berikutan cadangan menteri pertahanan, Mohamad Sabu semalam yang mengatakan akan mengkaji semula akta itu bagi mengelakkan ia menjadi alat politik.

Bercakap kepada Malaysiakini, Sri Ram berkata Akta MKN bercanggah perlembagaan kerana tidak memperoleh persetujuan daripada Majlis Raja-Raja sebelum diluluskan sebagai undang-undang.

"Akta yang meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa persetujuan raja-raja dalam keadaan tertentu adalah tidak berperlembagaan.

"Juga, ini adalah statut keselamatan dan mesti mematuhi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan," kata Sri Ram.

Artikel 149 menetapkan peruntukan bagi undang-undang baru berhubung soal keselamatan yang mesti diikuti - dan Akta MKN tidak mematuhi peruntukan tersebut.

Sri Ram berkata, sekiranya kerajaan mahukan undang-undang sedemikian diwujudkan, ia mesti digubal semula untuk mematuhi perlembagaan.

"Pentadbiran terdahulu jelas tidak menghormati Peraturan Undang-Undang. Kerajaan sekarang (HARAPAN) mengatakan ia menghormati Peraturan Undang-Undang," katanya.

Sri Ram juga salah seorang peguam yang mewakili ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mencabar akta berkenaan.

Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran bekas ketua pembangkang itu untuk memfailkan cabaran berkenaan.

Tunaikan janji manifesto

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya (UM) Azmi Sharom memberitahu sebuah stesen radio hari ini bahawa Akta MKN adalah undang-undang yang teruk dan perlu dimansuhkan.

Azmi berkata HARAPAN telah berjanji untuk berbuat demikian dan harus mematuhi apa yang dijanjikan dalam manifesto mereka.

"Sudah ada undang-undang untuk menangani masalah keselamatan dan tidak ada keperluan untuk itu.

"MKN telah menjadi undang-undang buruk yang telah dikritik banyak pihak. Kerajaan baru ini sepatutnya memutuskan untuk memansuhkannya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS