Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jokowi tak khuatir Dr M pandu kereta 180km sejam

Presiden Indonesia Joko Widodo memulakan bicara sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia dengan mengimbau pengalamannya menaiki kereta yang dipandu Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kelajuan 180km sejam.

"Saya tidak khuatir, saya tidak takut kerana pemandunya ialah Bapa Tun Mahathir," kata Joko atau lebih dikenali Jokowi dalam sidang media itu semalam.

Beratus media di Indonesia turut membuat liputan meluas lawatan rasmi Tun Dr Mahathir itu ke Indonesia sejak Khamis.

Media Indonesia turut menggambarkan sidang media bersama telah berlangsung dalam suasana yang cukup gembira, santai, mantap dan kedua-dua pemimpin itu turut bercanda (bergurau senda), sehingga menteri kabinet Jokowi yang hadir sama, turut bertepuk tangan.

Malah kenyataan Jokowi berhubung pemanduan kereta itu cuba diberikan makna lain, yang dilihat analogi kepada kekaguman Jokowi, media dan rakyat Indonesia terhadap Dr Mahathir, pemimpin senior berusia 92 tahun itu. 

Perdana Menteri tiba Jakarta pada Khamis dengan disambut Jokowi untuk lawatan rasmi itu, bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara sejak 60 tahun lepas.

Indonesia merupakan negara pertama Asia Tenggara yang dilawati Dr Mahathir selepas beliau menyandang jawatan Perdana Menteri susulan kemenangan menakjubkan Pakatan Harapan, yang diterajuinya, pada pilihan raya umum Mei lepas.

Semalam di Istana Presiden di Bogor, Dr Mahathir diberikan sambutan rasmi.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Istana Presiden itu pada 10.10 pagi dan disambut Jokowidan isteri Iriana Joko Widodo.

Dr Mahathir ketika bercakap kepada pemberita Malaysia turut melahirkan kegembiraannya hasil lawatan rasminya itu.

Dalam lawatan rasmi itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju dalam menangani isu isu berkaitan sempadan kedua-dua negara, bersepakat menangkis kempen buruk terhadap industri sawit dan kemungkinan menghidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran Asean.

Dr Mahathir berkata idea itu pernah diketengahkannya pada Februari 2015 semasa memandu uji sebuah kereta Proton dengan Presiden Indo itu duduk di bahagian penumpang hadapan.

“Ketika itu, saya bukan lagi Perdana Menteri dan saya memandu 180 kilometer sejam.

“(Tapi) Bapak Presiden (Jokowi) tidak merungut apa-apa (ketika kereta itu dipandu laju) ” kata.

Bak kata pepatah Melayu: Hanya jauhari yang mengenal manikam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS