Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PEMILIHAN UMNO 2018 | Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar hari ini mendakwa beliau tidak tahu-menahu sekiranya dana Umno negeri itu mempunyai kaitan dengan wang 1MDB.

Kata bekas menteri itu, beliau mendapat tahu mengenai isu berkenaan hanya melalui media sosial.

Menurut Noh, ada pihak mendakwa dana daripada syarikat pelaburan milik kerajaan yang sedang disiasat itu masuk ke akaun Umno Selangor pada 2013.

Bagaimanapun kata Noh, pada waktu itu Umno Selangor dipimpin oleh orang lain dan jawatan berkenaan hanya diserahkan kepadanya pada 2014.

“Di media sosial ada orang kata Badan Perhubungan Umno Selangor dapat dana 1MDB pada 2013.

“(Isu dana) 1MDB berlaku pada tahun 2013. Kalau (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - SPRM) panggil saya pun saya (kata saya) tak tahu.

"Saya tak tahu-menahu sebab saya tak tender cheque waktu itu," katanya di Tanjung Karang, Selangor hari ini.

Untuk rekod pengerusi Umno Selangor sebelum Noh ialah Datuk Seri Najib Razak.

Noh yang sebelum ini menjadi salah seorang pemimpin paling menonjol di Selangor ditanya mengenai langkah SPRM membekukan hampir 1,000 akaun Umno, termasuk melibatkan bahagian di Selangor.

Langkah itu diambil sebagai membantu badan antirasuah terbabit menyiasat dakwaan berlaku salah laku dan penyelewengan membabitkan dana 1MDB.

Tak arah pilih sesiapa

Najib dikaitkan secara langsung dalam dakwaan berkenaan.

"Saya tak boleh komen sebab kita tak tahu mengapa ia dibekukan," kata Noh lagi.

Menurut Noh, pada 2013 beliau bukan berjawatan ketua perhubungan Umno negeri.

Justeru katanya beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan urusan transaksi dana.

Noh sebelum itu menghadiri mesyuarat pemilihan Umno peringkat Tanjung Karang di Dewan Datuk Hormat.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno peringkat bahagian serta majlis tertinggi bermula hari ini dengan tumpuan paling utama terarah kepada jawatan presiden.

Lima calon sebelum ini telah diumumkan bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu termasuk trio utama iaitu Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda yang juga Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali ialah anggota Umno Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota Umno Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, turut dinamakan sebagai calon bagi jawatan itu.

Sementara itu tinjauan Malaysiakini mendapati terdapat dua pemidang memaparkan wajah dua calon presiden walaupun ada tiga yang paling dikenali.

Pada pemidang yang dinaikkan di pintu masuk ke kawasan dewan tersebut dipaparkan wajah Khairy dan Ahmad Zahid.

Pada pemidang Ahmad Zahid tertulis “Calon Presiden Umno 03” dan “Umno Bangkit, Ahmad Zahid Hamidi” manakala mengiring wajah Khairy pula bertulis: “Calon No 02 presiden Umno, Khairy Jamaluddin” dan “Selamat bersidang para perwakilan, bersama saya membawa perubahan, menuju kemenangan”.

Noh ketika ditanya mengenai perkara itu berkata beliau tidak tahu siapa yang menaikkan pemidang tersebut dan mendakwa tidak memberikan sebarang arahan untuk perwakilan mengundi sesiapa secara khusus.

“Saya tak tahu tapi dalam senarai kita (ada sokong) Ku Li.

"Di Tanjong Karang saya tak mengarahkan perwakilan undi calon satu dua atau tiga, tapi saya hanya bagi panduan untuk pulihkan Umno, pilih bapa kita, abang kita atau adik kita,” katanya.

Sejurus selepas sidang media itu, Noh mengarahkan semua pemidang tersebut diturunkan.

Lihat Komen
ADS