Berita Malaysiakini

K'jaan Melaka ambil lulusan sijil UEC

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengambilan lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata syarat tersebut telah dilaksanakan dalam HARAPAN dan akan diteruskan di peringkat negeri.

“Maknanya UEC diterima dalam syarat perjawatan di peringkat negeri. Kita boleh menerima lulusan sijil UEC kerana ketetapan telah dibuat dalam HARAPAN dan kita sebaik mungkin akan melaksanakannya di peringkat negeri pula," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Melaka di Melaka, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan berhubung dakwaan projek penambakan laut Melaka Gateway tidak mematuhi hasil keputusan dan syor-syor laporan MACRO-EIA yang telah dilaksanakan pada tahun 1998.

"Bagi saya sebarang bentuk bantahan yang melibatkan pembangunan ini, jalan terbaik adalah melalui perbincangan… jadi kita akan terus berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat dengan proses penambakan itu.

"Kita harus mengambil kira kepentingan rakyat dan saya yakin ada jalan penyelesaiannya," katanya ketika diminta mengulas isu penduduk Kampung Portugis dan nelayan kawasan itu menggesa agar kerajaan negeri menghentikan segera projek Melaka Gateway yang didakwa tidak mematuhi peraturan dan spesifikasi ditetapkan.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira kira-kira RM132 juta dalam usaha mengatasi masalah banjir di negeri itu.

Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan tender sebut harga projek berkenaan dibuka dalam masa terdekat melibatkan daerah Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah yang dijangka bermula pada awal tahun depan.

"Banjir di negeri ini sentiasa berulang-ulang di tempat yang sama, jadi kita sudah mengenal pasti lokasi dan akan mempercepatkan usaha bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini," katanya.

- Bernama