Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usah kaitkan pernikahan kanak-kanak dengan Rasulullah

ULASAN | Isu perkahwinan bawah umur dibangkitkan lagi apabila tular kisah seorang lelaki berusia 41 tahun bernikah dengan isteri ketiganya yang berusia 11 tahun.

Pernikahan lelaki dari Gua Musang, Kelantan itu dikatakan berlaku di selatan Thailand, dengan persetujuan wali atau bapa kanak-kanak tersebut.

Dari sudut perundangan, apa yang dilakukan itu nyata bertentangan dengan kehendak peruntukan Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kelantan) 2002 yang memperuntukkan:

“Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun, kecuali jika hakim syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

"Dalam keadaan tertentu" bermaksud wali atau bapa hendaklah mempunyai alasan kukuh untuk menikahkan anaknya sehingga boleh dipertimbangkan mahkamah sebelum memberi kebenaran.

Contohnya anak bermasalah moral, mengandung luar nikah, tidak boleh dikawal dan sebagainya. Hakim syarie kemudian akan menyiasat latar belakang dan keadaan fizikal, emosi serta rohani mereka yang ingin berkahwin.

Perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang tidak mendapat kelulusan bertulis daripada mahkamah syariah adalah suatu kesalahan. Wali atau bapa yang menikahkan anak di bawah umur tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Begitu juga pengantin lelaki yang berkahwinan dengan kanak-kanak tersebut boleh didakwa atas kesalahan bersubahat dengan wali atau bapa berkenaan.

Hujah tak lihat situasi

Jika perkahwinan tersebut adalah poligami, maka pengantin lelaki boleh didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Bapa atau wali kanak-kanak tersebut juga boleh didakwa atas kesalahan bersubahat dengan pengantin lelaki untuk berpoligami tanpa kebenaran.

Mana-mana pihak lain yang berada dalam majlis berkenaan, sama ada imam, saksi, ibu kanak-kanak berkenaan serta kaum keluarga juga boleh disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.

Persetujuan wali atau keluarga untuk menikahkan kanak-kanak berkenaan bukanlah jaminan atau hak mutlak bahawa perkahwinan itu boleh diadakan.

Ramai yang mengaitkan pernikahan bawah umur dengan apa yang pernah dilakukan oleh Rasuluulah SAW dengan berhujah bahawa mereka mengikut sunnah nabi.

Antara dalil yang dikemukakan untuk menyokong hujah itu ialah hadis daripada riwayat Aishah RA:

“Bahawasanya nabi SAW menikahinya ketika umur beliau enam tahun, dan hidup serumah dangannya ketika umur beliau (Aishah) sembilan tahun, dan beliau hidup beserta rasul selama sembilan tahun”. (Bukhari : 5133)

Fakta ini diterima dengan kesepakatan seluruh umat Islam. Kata Ibnu Katsir dalam kitab Al-Bidayah wa an-Nihayah, Jilid 3, halaman 161 bahawa “Hadis baginda SAW berkahwin dengan Aishah ketika berumur enam tahun, dan bersama dengannya ketika berumur sembilan tahun tidak ada khilaf antara manusia. Ia sabit dalam kitab-kitab hadis sahih dan lain-lain.”

Suka ditekankan bahawa dalil atau hujah yang dikemukakan oleh kelompok yang mewajarkan tindakan mereka diambil secara harfiah atau literal tanpa melihat situasi di sebalik nas tersebut, iaitu kenapa Rasulullah menikahi Aishah pada umur tersebut.

Perlu melihat juga kepada fakta bahawa perkahwinan baginda adalah atas wahyu daripada Allah SWT.

Dalam hadis no 3682 Sahih Bukhari mencatatkan bahawa Nabi Muhammad berkata kepada Aishah:

“Aku melihat engkau di dalam mimpi sebanyak dua kali. Iaitu engkau berada di dalam kelubung daripada sutera. Dan dikatakan kepadaku: Inilah isteri kamu, maka singkapkanlah dia. Tiba-tiba perempuan itu ialah engkau. Lalu aku berkata: Jika ia adalah daripada Allah, maka Dia akan meneruskannya.”

Dalam situasi dan ketika itu, bernikah dengan wanita di bawah umur bukan suatu perbuatan ganjil kerana wanita yang hidup di negara-negara beriklim panas lebih cepat baligh, lebih cepat matang dan bersedia untuk menjadi isteri lebih awal.

Aishah sendiri mengakui dengan kata-katanya:

“Apabila kanak-kanak wanita mencapai umur sembilan tahun, maka dia sudah bergelar wanita” (Sunan Tirmizi : 3/417).

Kebiasaannya wanita-wanita Arab baligh dan bersedia menjadi isteri ketika usia sembilan tahun. Juga menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada zaman tersebut, wanita berkahwin dalam usia yang begitu muda.

Oleh sebab itu, perkahwinan Rasulullah dengan Aishah tidak dijadikan senjata atau modal oleh musuh-musuh baginda terdiri daripada golongan musyrikin dan munafiqin untuk melakukan kecaman atau tohmahan atau mengaibkan baginda serta Islam.

Tanda akal sudah sempurna

Perkahwinan baginda dengan Aishah juga mendatangkan hikmah dan maslahah yang cukup besar kepada Islam, terutama dari sudut sebaran ilmu hadis.

Aishah wanita yang cerdik dan pintar. Kebersamaannya dengan baginda sejak berusia sembilan tahun telah memberi ruang yang luas kepadanya untuk tahammul (menghafal) hadis-hadis nabi dan meriwayatkannya.

Dibandingkan dengan perkahwinan dengan budak perempuan berumur 11 tahun di negara ini, banyak persoalan dan keraguan yang perlu diberikan jawapan.

Pertama, adakah kanak-kanak wanita itu telah baligh pada usia 11 tahun tersebut?

Kedua, adakah kanak-kanak wanita itu telah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu (jika melahirkan anak)?

Ketiga, adakah perkahwinan pada usia tersebut memberi kebaikan kepada Islam secara keseluruhan, atau sebaliknya menimbulkan tohmah dan dijadikan senjata untuk musuh menyerang dan mengaibkan Islam?

Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Umur baligh seorang kanak-kanak wanita apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda nabi:

“Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” [Ahmad dan ashab al-Sunan.]

Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh.

Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun.

Disebabkan itu Allah berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 34 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”

Telah berkata Ibn Abbas, amat sedikit ahli ilmu yang cenderung untuk menyatakan had baligh ialah berumur 18 tahun. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki, manakala budak perempuan pula lebih cepat balighnya, maka kami kurangkan setahun iaitu 17 tahun. [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 15-17/2]

Memetik pendapat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad al-Fatwa siri Ke-230:

“Kami cenderung kepada pendapat dalam mazhab al-Hanafi dan al-Maliki dalam menentukan had umur baligh iaitu pada usia 18 tahun, khususnya dalam isu nafkah kepada anak yatim. Ini kerana, kebiasaannya di Malaysia anak yang berusia bawah 18 tahun ini belum lagi bersedia untuk hidup secara bersendiri (berdikari) serta menafkahkan dirinya sendiri. Tambahan pula, kami juga bersetuju bahawa pihak mahkamah boleh memanjangkan tempoh nafkah tersebut kepada anak yatim tersebut dengan melihat kepada maslahah seperti nafkah, pendidikan dan kerjaya anak yatim tersebut sehingga had umur yang tertentu seperti 21 tahun dan sebagainya.”

Usia baligh bergantung kepada biologi individu berkenaan. Namun rata-rata pakar pediatrik berpendapat seorang kanak-kanak perempuan boleh mencapai usia baligh antara umur sembilan atau 10 tahun.

Isunya, jika seseorang kanak-kanak perempuan telah baligh pada usia 11 tahun dan dinikahkan dengan seorang lelaki, sudahkan dia mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri atau melahirkan anak pada usia tersebut? Inilah persoalan yang perlu dipertimbangkan dan diputuskan.

Bagaimana kalau ditinggalkan

Secara urufnya dalam masyarakat di Malaysia - sama ada di kalangan orang Islam atau bukan Islam - kanak-kanak wanita yang berumur 11 tahun sepatutnya masih bersekolah, belajar dan bermain bersama kanak-kanak yang lain.

Adakah wajar pada usia ini kanak-kanak tersebut diberikan tanggungjawab untuk menjadi isteri, melahirkan anak dan sebagainya? Apa perasaan dia jika melihat rakan-rakan sebayanya pergi bersekolah atau belajar, sedangkan dia terpaksa menjadi isteri dan memikul tanggungjawab?

Bagaimana pula jika selepas itu dia diceraikan atau ditinggal suami, atau ditakdirkan ibu bapanya pula meninggal dunia, bagaimanakah dia hendak meneruskan kehidupan sedangkan dia telah ketinggalan dari sudut pelajaran, dan pada masa sama mempunyai anak untuk dibesarkan?

Hari ini, perkahwinan kanak-kanak pada usia tersebut dijadikan modal dan senjata untuk pihak-pihak tertentu menimbulkan tohmah bagi mengaibkan Islam. Mereka menekan undang-undang Islam sedia ada kononnya membenarkan kanak-kanak bernikah di bawah umur, sedangkan prosedur kebenaran mengenainya amat ketat.

Bapa atau wali kepada kanak-kanak tersebut yang perlu membuat permohonan secara afidavit bersumpah, dengan menyatakan alasan-alasan kukuh mengapa perkahwinan itu perlu dibenarkan oleh mahkamah.

Antara alasan kukuh ialah anak mengandung luar nikah, masalah moral dan tidak boleh dikawal dan sebagainya.

Hakim syarie akan menyiasat latar belakang dan keadaan fizikal, emosi dan rohani mereka yang ingin berkahwin bagi menjaga kepentingan kanak-kanak itu kerana perkahwinan bukan perkara main-main.

Wali pula perlu ada asas kukuh untuk mengahwinkan anak gadisnya. Hanya apabila hakim syarie berpuas hati, barulah kebenaran diberi.

Mereka juga menimbulkan isu bahawa undang-undang Islam membenarkan pihak-pihak mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak atas alasan berkahwin, sedangkan undang-undang sivil memperuntukkan bahawa hubungan seks dengan kanak-kanak adalah satu jenayah, sama ada berkahwin atau tidak.

Tohmahan-tohmahan ini secara langsung telah memberi persepsi negatif terhadap Islam dan undang-undang Islam. Sedangkan di pihak satu lagi, hujah dangkal mereka ialah "sunnah rasul" tanpa melihat situasi dan peristiwa di sebalik sunah tersebut.

Berbalik kepada persoalan awal yang ditimbulkan, adakah pernikahan dengan kanak-kanak wanita pada usia 11 tahun itu memberi kebaikan kepada Islam secara keseluruhan sebagaimana dalam perkahwinan Siti Aishah, atau sebaliknya menimbulkan tohmah dan dijadikan senjata untuk musuh Islam menyerang dan mengaibkan Islam?

Saya menyimpulkan tulisan ini dengan meminta anda semua mempertimbangkan sebaik-baiknya tiga persoalan yang saya kemukakan di atas.


MUSA AWANG ialah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS